BAITULMUQADDIS: Israel mendakwa juruterbang Flydubai menuju Tel Aviv cuba menjunamkan pesawat itu dan membunuh penumpangnya selepas ia terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Arab Saudi.
Penumpang turut memberikan gambaran sama mengenai kejadian di dalam pesawat, dengan menyifatkan berlaku perebutan kawalan selepas pesawat itu tiba-tiba menjunam, kehilangan kira-kira 5,180 meter altitud dalam tempoh seminit, menurut laman sesawang Flightradar24.
Flydubai berkata, semua penumpang berada dalam keadaan selamat, dengan laporan media menyebut 166 daripada 174 penumpang adalah warga Israel. Syarikat penerbangan itu menambah punca pergaduhan berkenaan masih belum diketahui.
Seorang penumpang memberitahu AFP, kumpulan itu meneruskan penerbangan ke Tel Aviv selepas menunggu di Tabuk, Arab Saudi.
Seorang penumpang, Miryam Shira Ohayon berkata, pesawat itu hampir tidak dapat dikawal selepas salah seorang juruterbang cuba menikam juruterbang seorang lagi ketika mereka berada di ruang udara Jordan dalam perjalanan dari Dubai ke Tel Aviv.
“Pesawat itu benar-benar hampir terhempas dan keadaan hanya dapat dikawal hasil kepantasan bertindak ramai orang yang menewaskan pembantu juruterbang itu dan menghalangnya.
“Selain juruterbang itu, tiada kecederaan dilaporkan, tetapi kebimbangan terbesar adalah pesawat itu akan terhempas, yang sememangnya cuba dilakukan olehnya,” katanya, sambil menambah seorang doktor yang berada di dalam pesawat memberikan rawatan awal.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mesej video mendakwa bercakap dengan seorang penumpang warga Israel yang memasuki kokpit ketika pesawat mula menjunam dan bergelut dengan juruterbang yang cuba membuat pesawat berkenaan terhempas.
“Ketika penerbangan itu menghampiri negara ini, seorang daripada juruterbang menikam juruterbang seorang lagi dan dipercayai cuba membuatkan pesawat terhempas bersama semua penumpang di dalamnya.
“Seorang lagi anggota kru penerbangan yang berada di dalam pesawat memasuki kokpit dan berjaya menstabilkan pesawat,” kata Netanyahu.
Netanyahu berkata, juruterbang yang didakwa menikam rakannya itu sudah ditahan dan kini disoal siasat pihak berkuasa Arab Saudi.
“Saya sudah mengarahkan pasukan keselamatan supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan ancaman tambahan. Kami terus menjalankan penilaian situasi,” kata Netanyahu.
Sehari sebelum itu, Netanyahu memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku serangan menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober, menyebabkan Ketua Pembangkang, Yair Lapid menuduhnya cuba menimbulkan ketakutan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyifatkan kejadian itu sebagai cubaan serangan pengganas yang berjaya digagalkan hasil keberanian beberapa penumpang warga Israel.
Katz tidak mendedahkan sumber yang digunakan untuk mengaitkan motif itu dengan juruterbang berkenaan, yang identitinya belum didedahkan.
Katz kemudian menyindir Lapid secara tidak langsung dengan berkata, amaran keselamatan pentadbiran perlu dipandang serius oleh musuh Israel di luar serta bekas orang dalam yang tidak mengikuti perkembangan semasa.-AFP











