Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen

Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga baharu RON97 ialah RM5 seliter, RON95 RM4.52 seliter dan diesel RM5.27 seliter.

Katanya, penurunan itu didorong penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan formula *Automatic Pricing Mechanism* (APM), susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan dengan eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada 2025.

“Peningkatan bekalan ini membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut MOF, pemulihan bekalan global masih tidak sekata apabila sebuah lagi loji penapisan utama Russia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu.

Katanya, keadaan itu terus mengehadkan bekalan diesel dari Russia ke pasaran antarabangsa.

“Ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan.

“Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum,” katanya.

MOF berkata, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.

Katanya, Kerajaan Madani akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

“Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter.

“Ini bermakna, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.53 seliter, bersamaan 56 peratus daripada harga tanpa subsidi,” katanya.

Bagi penerima Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) pula, harga kekal RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan ialah RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Menurut kenyataan itu, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×