PARIS: Lebih 400 individu kebanyakannya remaja dan kanak-kanak, ditahan pihak berkuasa Perancis selepas tindakan menyekat laluan ke sekolah sebagai bantahan bertukar menjadi pertempuran ganas.
Protes berskala besar itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pelajar terhadap masalah kelas yang mempunyai terlalu ramai murid, isu kekurangan guru serta jadual persekolahan yang terlalu padat.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez memberitahu stesen televisyen BFM TV seramai 440 individu ditahan di seluruh wilayah negara berkenaan dengan dua pertiga daripada mereka dikenakan tahanan polis.
Kementerian Pendidikan Perancis mengesahkan kira-kira 400 sekolah terjejas akibat demonstrasi dan gangguan keselamatan sejak Selasa daripada keseluruhan 3,700 sekolah di seluruh negara.
Gelombang bantahan yang bermula di Paris minggu lalu itu kini merebak ke bandar-bandar lain, menyaksikan pelajar di Lille membakar tong sampah serta membaling botol dan batu ke arah pihak polis yang membalasnya dengan gas pemedih mata.
Nunez menzahirkan kecaman keras terhadap tindakan ganas itu sambil mendedahkan terdapat tujuh insiden di mana asid hidroklorik dibaling ke arah anggota keselamatan menyebabkan seramai 48 pegawai polis mengalami kecederaan.
Pertempuran turut dilaporkan berlaku di Bordeaux, Rennes, Nantes dan Marseille manakala pelajar di Paris membawa sepanduk mengadu jadual kelas dari pukul 8 pagi hingga 6 petang menyebabkan kekurangan masa tidur.
Di pinggir bandar Seine-Saint-Denis, Datuk Bandar, Bally Bagayoko menyertai perhimpunan pelajar sambil menyifatkan bantahan itu wajar memandangkan kawasannya yang berpendapatan rendah menerima peruntukan kemudahan pendidikan yang kurang berbanding kawasan kaya.
Ketika orang ramai mula berkumpul bersama Bagayoko, polis yang membawa perisai rusuhan memukul pelajar menggunakan belantan, lapor AFP.
Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu menyifatkan tindakan itu memburukkan keadaan dan tidak bertanggungjawab, menegaskan tiada sebarang alasan yang membenarkan ancaman terhadap keselamatan pelajar, staf dan polis.
Sementara itu, pemimpin parti pembangkang kiri, Jean-Luc Mélenchon mengecam tindakan keras kerajaan terhadap pelajar dan menyeru wakil rakyatnya untuk masuk campur bagi melindungi golongan muda terbabit.
Protes itu berlaku ketika kesatuan sekerja Perancis melancarkan mogok membantah rancangan belanjawan kerajaan yang merangkumi pemotongan perbelanjaan awam sebanyak 54 juta euro (RM249.7 juta).
Ramai pekerja sektor awam tidak hadir bekerja pada Selasa, termasuk kira-kira 40 peratus guru sekolah rendah.-AGENSI











