Simpanan persaraan perlu ambil kira tekanan kewangan semasa pencarum

Simpanan persaraan perlu ambil kira tekanan kewangan semasa pencarum

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha memastikan rakyat mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan perlu mengambil kira tekanan kewangan semasa yang dihadapi sebahagian pencarum.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, perkara itu turut disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam apabila membangkitkan keperluan isi rumah membayar makanan, sewa dan pendidikan sebelum memikirkan simpanan persaraan.

Katanya, PGIRM tidak mempertikaikan matlamat memperkukuh simpanan persaraan, namun mahu kerajaan menilai cadangan akses kepada sebahagian simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum yang benar-benar memenuhi syarat tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cadangan ini bukan tuntutan supaya semua pencarum diberikan kebebasan mengeluarkan simpanan KWSP.

“Sebaliknya, PGIRM meminta kerajaan menilai satu mekanisme yang mempunyai syarat, had, kategori kelayakan dan kawalan yang jelas khususnya bagi pencarum yang benar-benar berdepan keadaan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, cadangan berteraskan prinsip bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal itu telah dikemukakan kepada kerajaan menerusi kertas dasar pada 11 September lalu.

Justeru, beliau berkata, PGIRM berharap kertas dasar tersebut dinilai secara khusus dan diberikan maklum balas rasmi.

Katanya, kenyataan Anwar mengenai sasaran Simpanan Asas RM390,000 tidak wajar dianggap sebagai penerimaan atau penolakan terhadap cadangan PGIRM kerana perkara itu tidak dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Media semalam melaporkan, kerajaan menyasarkan enam daripada setiap 10 ahli KWSP mencapai penanda aras Simpanan Asas RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.

Ketika ini, hampir empat daripada 10 ahli berada di landasan untuk mencapai jumlah tersebut.

Kenyataan itu dibuat menerusi teks ucaptama Anwar pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 anjuran KWSP yang dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×