KUALA LUMPUR: Pencarum yang berdepan masalah tuntutan dilambatkan, dipersulit atau terhalang akibat birokrasi diminta menyalurkan aduan terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai Perkeso yang sengaja melengah-lengahkan urusan pencarum yang layak menerima faedah.
Beliau berkata, pencarum yang mengalami masalah tersebut boleh mengemukakan aduan secara langsung kepadanya supaya tindakan segera dapat diambil.
“Siapa yang ada masalah, anggota melewatkan, melambatkan, menyusahkan atau mewujudkan birokrasi, e-mel terus kepada saya.
“Saya tidak akan berkompromi dengan anggota yang melambatkan, melewatkan atau mewujudkan birokrasi sekiranya pencarum itu layak,” katanya dalam sidang akhbar khas di Menara Perkeso di sini, hari ini.
Mohammed Azman berkata demikian ketika mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa proses tuntutan faedah Perkeso mengambil masa lama dan menyukarkan pencarum.
Menurut beliau, Perkeso tidak menunggu pencarum atau waris tampil membuat tuntutan semata-mata, sebaliknya turut mengambil pendekatan proaktif untuk mengenal pasti individu yang layak menerima bantuan.
Katanya, Skuad Prihatin Perkeso di seluruh negara memantau laporan media, maklumat polis dan sumber berkaitan bagi mengenal pasti kes kemalangan, kecederaan atau kematian yang melibatkan pencarum.
“Ada keadaan sebelum mereka tahu bahawa mereka layak, kita sudah sampai di hadapan pintu rumah mereka untuk membantu.
“Kita mempunyai Skuad Prihatin di seluruh negara bagi membantu mereka yang mengalami kemalangan, kecederaan atau kematian,” katanya.
Beliau berkata, faedah Perkeso perlu disalurkan dengan segera kerana penerima dan waris lazimnya memerlukan bantuan ketika berdepan keadaan kecemasan serta kehilangan sumber pendapatan.
Katanya, pembayaran faedah pengurusan jenazah, misalnya, tidak boleh mengambil masa terlalu lama kerana wang itu diperlukan bagi menguruskan pengebumian mangsa.
“Faedah pengurusan jenazah kalau diberikan selepas seminggu, hendak buat apa? Keluarga memerlukannya untuk menguruskan jenazah.
“Kalau pencarum mengalami kemalangan dan tidak menerima gaji, kita perlu membayar faedah hilang upaya sementara untuk menggantikan pendapatannya. Kalau dapat selepas tiga bulan, sepanjang tempoh itu dia hendak makan apa?” katanya.
Mohammed Azman berkata, bagaimanapun, pencarum perlu memahami bahawa setiap tuntutan masih tertakluk kepada akta, peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Katanya, keperluan untuk mendapatkan dokumen serta memastikan tuntutan memenuhi syarat kelayakan tidak seharusnya dianggap sebagai birokrasi atau kelewatan.
“Kita ada akta, peraturan dan pekeliling. Prosedur perlu dipatuhi bagi memastikan setiap tuntutan dibuat mengikut ketetapan.
“Namun, sekiranya benar terdapat pegawai yang sengaja melengah-lengahkan tuntutan, salurkan maklumat terus kepada saya,” katanya. – UTUSAN










