Benarkan KWSP sendiri sediakan pinjaman kepada pencarum

Benarkan KWSP sendiri sediakan pinjaman kepada pencarum

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 189 dana unit amanah mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahlinya di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) bagi tempoh 2024/2025, berkuat kuasa 1 April 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri memberi pinjaman kepada pencarum yang terdesak memerlukan bantuan kewangan.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ketika ini kerajaan dilihat berdepan kesulitan dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa dan dalam masa yang sama mahu menjamin kelangsungan kehidupan ‘hari tua’ rakyat.

Menurut beliau, kerajaan boleh merangka terlebih dahulu supaya kebenaran KWSP menyediakan pinjaman tunai akan menjadi langkah proaktif yang membantu rakyat tanpa memberi kesan negatif apabila mereka masuk ke dalam umur persaraan.

“Ia merupakan satu kaedah dalaman KWSP, jadi cagaran itu akan menjadi isu institusi tersebut sahaja di mana tidak melibatkan pihak ketiga seperti bank. Namun, isunya adalah berapa kadar pinjaman yang dikenakan.

“Usaha ini merupakan langkah untuk membantu kumpulan yang sangat susah, memang jika KWSP mampu sepatutnya tidak perlu kadar faedah tetapi ia mungkin tidak adil kepada pencarum-pencarum lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kira-kira 320,000 pencarum KWSP yang mempunyai baki simpanan melebihi RM100,000 mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan itu secara bersasar.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.

Sehubungan itu, Barjoyai berpendapat pinjaman tunai daripada KWSP adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang sentiasa menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat.

“Ada tujuh juta pencarum yang simpanannya di dalam KWSP mempunyai sekitar RM4,000 sahaja. Jika dibawa keluar, tidak ada lagi harapan untuk mereka bersara sebab jika jumlah tersebut terus disimpan mungkin dalam 15 ke 20 tahun lagi individu itu mempunyai sekitar RM30,000 ke RM40,000 iaitu adalah sedikit habuan.

“Memandangkan kita menghadapi kesukaran dalam mencari jalan menolong penyimpan KWSP yang sedang susah ketika ini, jadi jika KWSP dapat menyediakan pinjaman ia merupakan satu perkara terbaik untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×