BENTONG: Kegembiraan 14 pekerja Syarikat Coffee Bean Caltex Sungai Besi beriadah di Hutan Lipur Chamang di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika sedang mandi, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.29 petang itu, mangsa, Mohd. Aiman Nazmi Mohd Yusuf, 29, dari Felda Endau, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.29 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong digerakkan ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 2.11 petang dan mendapati mangsa sudah dinaikkan oleh pihak perhutanan sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Pemeriksaan dan pemantauan di lokasi mendapati mangsa sudah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa datang ke Hutan Lipur Chamang bersama 13 rakannya yang terdiri daripada lapan lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa. – UTUSAN











