NEW YORK: Dron, pesawat pejuang dan helikopter Israel menceroboh ruang udara Lubnan sebanyak 143 kali sepanjang hujung minggu lalu, menurut pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan.
Tiada tembakan roket atau peluru berpandu daripada Hizbullah atau kumpulan bersenjata lain dikesan dalam tempoh berkenaan.
Menurut jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric kepada pemberita di New York pada Isnin, pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) merekodkan pelanggaran itu antara Jumaat hingga Ahad.
Pasukan pengaman turut menyaksikan beberapa serangan udara di sektor timur dan barat yang berada di bawah pemantauan misi berkenaan.
Menurut Dujarric, sepanjang tiga hari itu, UNIFIL merekodkan keseluruhan 166 lintasan tembakan senjata berat, yang kesemuanya dikaitkan dengan tentera Israel.
“UNIFIL tidak mengesan sebarang pelancaran roket atau tembakan peluru berpandu oleh Hizbullah dan kumpulan bersenjata lain,” katanya.
Jelasnya, pasukan pengaman antarabangsa itu turut mengesan 12 kapal tentera laut Israel memasuki perairan wilayah Lubnan di luar pantai Naqoura dalam Sektor Barat UNIFIL.
Misi pengaman itu terus menyokong penghantaran bantuan di Lubnan dan dengan kerjasama Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, UNIFIL bagi memudah cara dua misi kemanusiaan sepanjang hujung minggu lalu, masing-masing satu di setiap sektornya.
Angka terbaharu serangan Israel itu dikeluarkan ketika selatan Lubnan terus berdepan tekanan ketenteraan hebat, beberapa bulan selepas Hizbullah dan tentera Israel kembali berbalas serangan pada 2 Mac, susulan konflik serantau lebih meluas membabitkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Tentera Israel menduduki sebahagian wilayah di selatan Lubnan di kawasan seluas kira-kira 10 kilometer dari sempadan, yang digambarkan pihak berkuasa Israel sebagai ‘zon penampan’.
Serangan Israel membunuh lebih 4,300 orang di Lubnan sejak Mac, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Perjanjian antara Israel dan Lubnan pada Jun hanya menghasilkan gencatan permusuhan yang rapuh.
UNIFIL memantau kawasan berkenaan sejak misi pengamannya ditubuhkan pada 1978, Namun, mandat itu dijadualkan berakhir pada penghujung tahun ini selepas dilanjutkan buat kali terakhir pada Ogos tahun lalu.
Lubnan menggesa PBB mempertimbangkan semula pengunduran misi itu dengan memberi amaran langkah tersebut boleh mewujudkan kekosongan keselamatan yang berbahaya. – AGENSI











