PETALING JAYA: Dion Cools tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan menentang 10 pemain Indonesia sebelum mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 0-0 dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), kelmarin.
Menurut kapten skuad kebangsaan itu, mereka sepatutnya membawa pulang tiga mata berdasarkan penguasaan permainan yang dipamerkan, terutama selepas Indonesia kehilangan pemain tengah berpengaruh, Thom Haye yang dibuang padang pada babak pertama.
Harimau Malaya dilihat mengawal rentak permainan dengan lebih baik selepas insiden berkenaan dan beberapa kali berjaya memaksa tuan rumah bertahan di kawasan sendiri.
Namun begitu kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe terpaksa berpuas hati dengan satu mata meskipun mempunyai kelebihan seorang pemain untuk tempoh yang panjang.
“Saya sangat bangga dengan persembahan pasukan tetapi pada masa sama sedikit kecewa dengan keputusan. Saya rasa kami agak dominan terutama pada babak kedua.
“Kami mahu membawa pulang tiga mata tetapi malangnya hanya memperoleh satu mata. Namun segala-galanya masih terbuka,” katanya selepas perlawanan.
Walaupun terkilan dengan keputusan itu, pemain pertahanan Cerezo Osaka FC berusia 30 tahun itu percaya peluang Malaysia untuk melangkah ke final masih berada dalam tangan sendiri. – UTUSAN











