Pemuda hidap autisme tidak tidur malam sejak usia tujuh bulan

Pemuda hidap autisme tidak tidur malam sejak usia tujuh bulan

ZAWIAH Mat Rani setia di sisi Muhammad Irfan Izazuddin Razali yang menghidap autisme di Kampung Durian Guling, Marang, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: “Anak saya tidak tidur waktu malam sejak usia tujuh bulan.”

Demikian luahan seorang ibu tunggal, Zawiah Mat Rani, 58, yang terpaksa mengorbankan kerjaya dan kehidupan peribadinya selepas bersara awal sebagai guru demi menjaga anak bongsunya, Muhammad Irfan Izazuddin Razali, 32, yang menghidap autisme.

Zawiah yang berasal dari Kampung Durian Guling, di sini membuat keputusan bersara pada 2024 selepas lebih tiga dekad bergelar pendidik selepas suaminya, Razali Ismail me­ninggal dunia akibat kanser limfoma pada tahun sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak itu, sebahagian besar kehidupan bekas guru Bahasa Inggeris ini tertumpu kepada Muhammad Irfan Izazuddin yang memerlukan penjagaan dan pemantauan sepenuhnya sepanjang masa.

Katanya, Muhammad Irfan Izazuddin yang merupakan anak kedua daripada dua beradik disahkan mengalami autisme ketika berusia setahun dan menunjukkan tanda hiperaktif sejak kecil.

“Ketika itu saya tidak banyak mendapat pendedahan mengenai autisme. Sejak berusia kira-kira tujuh bulan, Muhammad Irfan Izazuddin sudah tidak tidur pada waktu malam. Dia hanya boleh tidur pada waktu siang.

“Biasanya dia tidur sekitar pukul 6 pagi dan bangun pada pukul 2 atau 3 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, Muhammad Irfan Izazuddin mempunyai rutin dan keperluan tersendiri termasuk gemar dibawa ke pasar malam untuk membeli ayam goreng dan Milo ais.

“Dia tidak pernah makan nasi sebaliknya hanya makan ayam, telur, keropok dan biskut. Jadi saya bergilir-gilir menyediakan makanan untuknya seperti telur goreng, ayam gulai dan ayam goreng,” katanya.

Zawiah berkata, keadaan fizikal Muhammad Irfan Izazuddin yang besar menyebabkan urusan penjagaan menjadi lebih mencabar termasuk menyediakan makanan, mengurus kebersihan diri dan membantunya bergerak.

Menurutnya, Muhammad Irfan Izazuddin tidak pernah bersekolah atau menerima terapi secara formal ketika kecil kerana pada ketika itu dia kurang mendapat pengetahuan dan pendedahan mengenai keperluan kanak-kanak autisme.

“Disebabkan itu, penjagaan Muhammad Irfan Izazuddin sekarang menjadi lebih mencabar kerana dia tidak mampu menguruskan diri sendiri dan memerlukan pemantauan ber­terusan. Dia juga sukar dibawa ke klinik atau hospital kerana tidur pada waktu siang,” katanya.

Katanya, Muhammad Irfan Izazuddin kini mempunyai berat kira-kira 160 kilogram de­ngan ketinggian hampir enam kaki selain mengalami masalah glaukoma pada mata kanan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×