50 penduduk Taman Sri Muda menang saman kecuaian banjir

50 penduduk Taman Sri Muda menang saman kecuaian banjir

PENDUDUK dakwa kegagalan pengurusan banjir, sistem perparitan, amaran cuaca dan tindak balas bencana menyumbang kepada kerugian mereka. Gambar 21 Disember 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 50 penduduk Taman Sri Muda memenangi saman terhadap kerajaan dan beberapa agensi berkaitan berhubung kecuaian serta kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan banjir pada 2021 yang mengorbankan 12 nyawa di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Shoba Rajah ketika membacakan keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata, plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan dan agensi terbabit.

Katanya, mahkamah mendapati wujud kewajipan berjaga-jaga yang boleh dijangka, berdasarkan fungsi operasi dan tanggungjawab pengurusan bencana yang dipikul defendan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembelaan ‘takdir Tuhan’ yang dikemukakan tidak terpakai apabila campur tangan manusia yang munasabah boleh dilakukan. Kecuaian telah dibuktikan.

“Doktrin kekebalan asing tidak relevan di bawah undang-undang Malaysia,” katanya.

Dalam keputusannya, mahkamah turut mendapati Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) gagal meningkatkan tahap tindak balas bencana, mengekalkan pusat penyelarasan utama serta mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan berkesan ketika banjir melanda kawasan itu.

Menurut Shoba, kegagalan berkenaan menyebabkan pengurusan lokasi kejadian tidak dilaksanakan secara berkesan sehingga usaha mencari dan menyelamat sebahagian besarnya diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat setempat.

Mahkamah turut mendapati Jabatan Meteorologi Malaysia gagal mengeluarkan amaran tepat pada masanya pada tahap bahaya yang sewajarnya, walaupun ramalan menunjukkan ambang berkaitan telah dicapai.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut diputuskan bertanggungan secara bersama dengan kerajaan Persekutuan.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran penilaian ganti rugi kepada 50 plaintif.

Penduduk terbabit diwakili peguam James Joshua Paulraj, Regine Ng, Ahmad Badri Mustaffa, M. Gobinath dan P. Taneswaran.

Kerajaan Persekutuan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin.

Penasihat Undang-Undang Negeri, Faris Shah Kamarulzaman dan peguam Norazalina Hairuddin masing-masing hadir mewakili JPS Selangor dan MBSA.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×