Proton e.MAS serah kereta ke 40,000 dalam masa 20 bulan - Utusan Malaysia

Proton e.MAS serah kereta ke 40,000 dalam masa 20 bulan

NOOR Azira menjadi pemilik ke-40,000 Proton e.MAS dan menerima kunci sebuah e.MAS 7 Premium Plus berwarna hitam dalam satu majlis di Subang Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Sdn. Bhd. (PRO-NET), anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad meraikan penyerahan kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS yang ke 40,000, hanya 20 bulan selepas jenama itu dilancarkan.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan komuniti pemilik Proton e.MAS, termasuk pembeli EV kali pertama, keluarga serta pengguna yang menjadikan kenderaan elektrik sebahagian daripada mobiliti harian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pencapaian berkenaan turut meningkatkan tanggungjawab syarikat untuk memastikan pengalaman pemilikan EV lebih mudah, selesa dan memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencapaian 40,000 kenderaan Proton e.MAS merupakan satu pencapaian yang bermakna buat syarikat kerana di sebalik setiap kenderaan itu ialah pelanggan yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.

“Seiring dengan perkembangan komuniti ini, tanggungjawab kami juga semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menghargai sokongan pelanggan, beliau berkata, Proton e.MAS turut memperkukuh janji pelanggannya menerusi rangkaian manfaat pemilikan yang dipertingkatkan meliputi pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, e.MAS Care dan perkhidmatan digital.

Tambahnya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah diskaun 40 peratus bagi pengecasan dari 1 hingga 5 Oktober 2026, selain manfaat jangka panjang yang bertujuan memberikan nilai dan kemudahan lebih besar sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Dalam pada itu, Qiang berkata, rangkaian Proton e.MAS kini mempunyai 60 pengedar di seluruh negara, disokong lebih 1,600 tenaga kerja profesional dalam bidang jualan dan perkhidmatan selepas jualan.

Menurutnya, PRO-NET menyasarkan untuk memperluaskan rangkaian itu kepada lebih 70 cawangan menjelang akhir 2026, termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Body & Paint.

“Perkembangan berterusan ini memastikan pelanggan kami sentiasa mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan mereka,” ujarnya.

Bermula dari pukul 11 pagi pada 1 Oktober hingga pukul 11 pagi pada 5 Oktober ini, pemilik Proton e.MAS akan menikmati diskaun 40 peratus bagi caj pengecasan melalui aplikasi Proton e.MAS.

Tiada perlu daftar atau tebus, pemilik hanya perlu mengecas seperti biasa melalui aplikasi tersebut untuk menikmati kadar yang lebih rendah.

Selain pengecasan, PRO-NET turut memperluas sambutan kenderaan ke 40,000 ini kepada pelbagai aspek pemilikan, dengan manfaat tambahan merangkumi perkhidmatan selepas jualan, urus niaga tukar beli dan e.MAS Care.

Dari 1 hingga 31 Oktober 2026, pelanggan boleh menikmati diskaun 10 peratus bagi servis dan penyelenggaraan, manakala 1,000 pelanggan pertama yang mendapatkan servis akan menerima kad Touch ’n Go Proton e.MAS 5 secara eksklusif.

Selain kempen ini, Proton e.MAS terus memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan selepas jualan melalui rangkaian pusat servis yang semakin berkembang di seluruh negara.

Bagi pelanggan yang ingin menukar kenderaan, pelanggan yang layak boleh menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 melalui Carsome dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×