Tambang bas ekspres semakin mahal?

Tambang bas ekspres semakin mahal?

KAMI cuma mahukan satu perkara iaitu tambang bas yang adil dan pengangkutan awam yang benar-benar mampu digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, saya sendiri memerhatikan trend kenaikan harga tiket bas ekspres yang semakin ketara.

Pada awalnya, mungkin kita menganggap kenaikan beberapa ringgit sebagai sesuatu yang masih boleh diterima.

Tetapi apabila kenaikan itu berlaku berulang kali sehingga mencecah sekitar RM15 hingga RM20 bagi satu perjalanan sehala, persoalannya mula timbul, sampai bila pengguna perlu menanggung peningkatan kos ini?

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai pengguna pengangkutan awam, saya sendiri menggunakan perkhidmatan bas dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

Dahulu, harga tiket (dewasa) sekitar RM47, kemudian meningkat kepada RM50 namun selepas berlaku penyelarasan harga bahan api, khususnya diesel, harga tiket turut menunjukkan peningkatan yang ketara.

Mungkin bagi sesetengah orang, kenaikan RM10 atau RM20 tidak begitu terasa. Tetapi bagi sebuah keluarga yang mempunyai empat atau lima orang ahli, angka tersebut bukan lagi kecil.

Bayangkan jika seorang penumpang perlu membayar tambahan RM15 bagi perjalanan sehala. Untuk empat orang, tambahan itu sudah menjadi RM60.

Jika perjalanan pergi dan balik, jumlahnya boleh mencecah RM120 hanya disebabkan perbezaan harga tambang.

Itu belum dicampur dengan kos makan, pengangkutan dari terminal ke destinasi atau perbelanjaan lain sepanjang perjalanan.

Alasan di pihak pengusaha bas pula, mereka berdepan dengan peningkatan kos operasi. Apabila kos bahan api meningkat, pengusaha sememangnya memerlukan ruang untuk memastikan perkhidmatan mereka terus beroperasi.

Tetapi persoalan besarnya ialah, sejauh mana kenaikan kos tersebut wajar dipindahkan kepada pengguna?

Adakah setiap kali berlaku kenaikan harga bahan api, pengguna pengangkutan awam perlu menjadi pihak yang menanggung kesannya?

Sebab itu, isu tambang bas ekspres tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai soal harga tiket.

Ia berkait rapat dengan kos sara hidup, akses mobiliti rakyat dan kemampuan sebuah keluarga untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Persoalannya sekarang, sejauh mana pihak pemerintah, khususnya kementerian dan agensi berkaitan, menyedari tekanan yang sedang dirasai pengguna?

Apabila harga tiket bas meningkat, kesannya mungkin tidak kelihatan dalam statistik besar negara. Namun bagi sebuah keluarga yang perlu mengeluarkan ratusan ringgit untuk perjalanan pulang ke kampung, kenaikan tersebut sangat terasa.

Kita tidak meminta tambang percuma.

Kita juga memahami bahawa pengusaha bas mempunyai kos yang perlu ditanggung.

Apa yang rakyat harapkan hanyalah harga tambang yang munasabah, telus dan adil, selain adanya mekanisme pemantauan yang benar-benar mengambil kira kemampuan pengguna.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan menilai semula struktur tambang bas ekspres secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut kos pengusaha, tetapi juga berdasarkan kemampuan sebenar rakyat.

Jika perlu, wujudkan mekanisme subsidi bersasar, insentif kepada pengusaha yang mengekalkan tambang pada kadar munasabah, atau pemantauan berkala terhadap kenaikan tambang supaya pengguna tidak menjadi mangsa setiap kali kos operasi meningkat.

Kami faham kos pengusaha meningkat. Tetapi siapa yang memahami beban kami?

Sebagai pengguna, kami cuma mahukan satu perkara iaitu tambang yang adil dan pengangkutan awam yang benar-benar mampu digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

Kerana pengangkutan awam bukan sekadar soal membawa manusia dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat.

Apabila kos untuk bergerak semakin mahal, kehidupan rakyat juga menjadi semakin berat. – UTUSAN

PENGGUNA TERBEBAN
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×