Melayu, umat Islam berdepan krisis adab 

Melayu, umat Islam berdepan krisis adab 

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bangsa Melayu dan umat Islam kini berdepan krisis adab apabila perbezaan pandangan semakin bertukar menjadi pertelagahan dan penyebaran berita palsu pula dilakukan tanpa menghiraukan aib dan maruah sesama sendiri.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana perbezaan pandangan yang tidak diurus dengan adab boleh membawa kepada permusuhan.

Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila perbincangan dan perdebatan berbentuk pertelagahan tanpa adab semakin kerap berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sultan Nazrin bertitah, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk saling menghina atau mengaibkan pihak lain, sebaliknya perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan rasa belas ihsan.

“Sangat mendukacitakan malah bertambah mengaibkan, ketika ini kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, sedang dan semakin berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.  

“Berita yang belum disahihkan disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka, dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan.  Bangsa Melayu dan umat Islam sedang menghadapi krisis adab.  

“Krisis adab tidak boleh dipandang sebagai perkara kecil kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-75 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Sultan Nazrin bertitah, kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghina dan perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh, merendah-rendahkan atau memfitnah orang lain.

“Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan. Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan.

“Jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri,” titah baginda. 

Baginda justeru itu bertitah, bangsa dan umat Islam perlu menghidupkan kembali adab ketika berkomunikasi menerusi kaedah syura walaupun berbeza pendapat.

Titah baginda, perbezaan pendapat tidak seharusnya membawa kepada penghinaan, manakala teguran pula boleh disampaikan tanpa mengaibkan.

“Kita perlu memperkukuh budaya syura dan adab dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran dan seluruh masyarakat.

“Bangsa dan ummah perlu dididik bahawa keberanian bukan sekadar keberanian untuk bersuara, tetapi juga keberanian untuk mendengar, mengakui kesilapan dan menerima kebenaran walaupun ia datang daripada pihak yang berbeza pandangan atau kumpulan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, syura yang disertai adab akan melahirkan keputusan yang bijaksana, kepimpinan yang adil dan masyarakat yang matang.

Baginda menyeru masyarakat supaya mengamalkan sikap murni dengan tidak hanya mahu didengar tetapi enggan mendengar, mudah menghukum tetapi enggan memahami, serta bercakap mengenai perpaduan sedangkan kata-kata sendiri boleh menyemarakkan perpecahan. 

“Sesebuah masyarakat tidak menjadi kuat kerana semua anggotanya mempunyai pandangan yang sama, tetapi sesebuah masyarakat menjadi kuat kerana berdaya dan berhikmah mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat,” titah baginda. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×