Pertemuan PH-Bersatu cetus spekulasi rundingan awal PRN

Pertemuan PH-Bersatu cetus spekulasi rundingan awal PRN Melaka

Perbincang antara pemimpin dari PH dan Bersatu pada majlis makan malam di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pertemuan tertutup antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini malam tadi mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan bermulanya rundingan awal kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, tiada sebarang rundingan rasmi berlangsung sebaliknya menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Banda Hilir.

Menurutnya, pertemuan antara Bersatu dan PH sekadar sesi bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kehadirannya adalah atas jemputan pemimpin negeri Melaka bagi menghadiri majlis makan malam yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali serta membincangkan pengalaman menghadapi pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Tak ada perundingan. Saya pun hadir sebab jemputan makan malam. Jadi makan malam yang dianjurkan oleh pemimpin negeri Melaka.

“Saya rasa bagus untuk kita bertukar-tukar fikiran, berbincang tentang pengalaman-pengalaman di negeri lain sebelum ini. Jadi pada saya sesi perbincangan macam ini baguslah untuk kita berkongsi idea macam mana nak melangkah ke depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam itu.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat serta Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong.

Manakala Bersatu diwakili Tun Faisal, Datuk Seri R. Sanjeevan dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Kehadiran Tun Faisal pada pertemuan tersebut menarik perhatian selepas ia dikaitkan dengan kemungkinan wujud usaha awal menyatukan beberapa pihak bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka menyaksikan persaingan sengit susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.

Mengulas soalan pemberita sama ada pertemuan itu menyentuh mengenai rundingan kerjasama politik, Tun Faisal sekali lagi menafikan perkara tersebut dan menjelaskan sebarang rundingan rasmi berada pada peringkat yang berbeza.

“Tak ada. Runding-runding tak ada. Itu level lain Dalam kenyataan-kenyataan saya sebelum ini pun saya dah sebut Bersatu ini macam Presiden sebut, kita terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuka pintu rundingan ataupun perbincangan dengan kita asalkan kita tidak mengorbankan prinsip-prinsip kita,” katanya.

Menurut beliau, prinsip perjuangan parti dan kepentingan rakyat serta negeri Melaka menjadi syarat utama sekiranya sebarang kerjasama mahu dipertimbangkan pada masa hadapan.

“Siapa sahaja yang ajak kita berbincang, kita terbuka. Yang penting kita tidak mengorbankan prinsip-prinsip kita dan kepentingan rakyatlah serta negeri ini,” katanya.

Tun Faisal turut menjelaskan bahawa pertemuan malam itu sepatutnya berlangsung secara tertutup, namun kehadiran media menyebabkan perhatian tertumpu kepada majlis berkenaan.

Ditanya sama ada akan wujud perbincangan susulan selepas ini, beliau menjelaskan bahawa sesi di peringkat negeri hanya bersifat suai kenal dan pertukaran pandangan, manakala sebarang rundingan rasmi dikendalikan di peringkat kepimpinan yang lain.-UTUSAN

 

Captions

Pix1. Perbincang antara pemimpin dari PH dan Bersatu pada majlis makan malam di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah malam tadi.

 

Pix2. Tun Faisal Ismail Aziz

 

Habis…/

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×