YAN: Keterujaan jelas dirasai orang ramai apabila Gunung Jerai buat julung kalinya menjadi pentas penamat perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.
Laluan pendakian yang sebelum ini lebih sinonim dengan aktiviti rekreasi dan pelancongan itu bertukar menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal yang mahu menyaksikan sendiri aksi pelumba profesional menakluk cabaran Gunung Jerai.
Seawal tengah hari, orang ramai mula memenuhi beberapa lokasi di sepanjang laluan pendakian sebelum kemunculan kelompok pelumba yang bertarung untuk menamatkan peringkat itu yang bermula dari Taiping, Perak.
Bagi penduduk tempatan, Shahrul Yusof, 36, berkata, kehadiran LTdL di Gunung Jerai dianggap sesuatu yang istimewa kerana kali pertama pendakian berkenaan dijadikan penamat peringkat dalam sejarah perlumbaan berprestij itu.
“Suasana bertambah meriah apabila penonton memberikan sorakan dan sokongan kepada pelumba ketika mereka mula memasuki laluan pendakian yang sempit, berliku dan semakin mencabar menuju ke puncak.
“Saya pernah hadir ke beberapa lokasi penamat LTdL dalam edisi sebelum ini tetapi untuk Gunung Jerai ia sangat bermakna kerana dekat dengan tempat tinggal saya di Sedaka,” katanya kepada Utusan Malaysia
Keadaan laluan yang sempit dan mempunyai cerun curam turut menjadikan pendakian Gunung Jerai antara cabaran utama kepada pelumba dalam peringkat berkenaan, selain memerlukan mereka lebih berhati-hati terutama ketika menghampiri bahagian akhir pendakian.
Bagi peminat sukan berbasikal, Khairi Zamri, 43, sambutan orang ramai memperlihatkan potensi Gunung Jerai untuk menjadi lokasi tumpuan baharu peminat sukan itu, khususnya bagi menyaksikan perlumbaan yang melibatkan pelumba bertaraf antarabangsa.
“Sebelum perlumbaan, laluan Gunung Jerai turut digambarkan sebagai berpotensi menjadi ‘mini Genting Highland’ susulan jangkaan kehadiran peminat di sepanjang zon pendakian.
“Malah, bagi penduduk dan peminat di Kedah, perlumbaan hari ini juga memberi pengalaman berbeza apabila Gunung Jerai bukan sekadar menjadi latar belakang, sebaliknya menjadi sebahagian daripada cabaran sebenar kepada pelumba LTdL,” ujarnya.
Terdahulu, Lennart Jasch daripada pasukan Tudor Pro Cycling Team muncul juara selepas menamatkan perlumbaan di puncak Gunung Jerai dengan catatan masa 3:37:21.
Pelumba dari Jerman itu menamatkan perlumbaan di hadapan Abel Balderstone Roumens dan Jan Castellon Ribalta yang kedua-duanya daripada pasukan Caja Rural–Seguros RGA bagi tempat kedua dan ketiga. – UTUSAN











