SERI KEMBANGAN: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Muhyiddin antara beberapa pemimpin politik dan tokoh terkemuka yang dilihat di masjid berkenaan.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil;
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah.
Jenazah Dr Siti Hasmah tiba di masjid itu kira-kira 2.55 petang tadi, selepas dibawa dari kediamannya di The Mines di sini.
Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada 9.20 pagi tadi.
Kematiannya disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Solat jenazah dijangka diadakan di masjid itu, selepas solat Asar. Jenazah Dr Siti Hasmah kemudian akan dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.











