Dahulu, rumah kampung menjadi tempat yang dituju setiap kali cuti sekolah atau musim perayaan.
Di situlah keluarga berkumpul, anak-anak bermain dan saudara-mara bertemu selepas sekian lama tidak bersua.
Walaupun sederhana, rumah papan dengan tangga kayu, beranda dan bumbung tinggi ini pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan serta tempat keluarga mencipta pelbagai kenangan.
Kini, suasana itu semakin sukar ditemui apabila kebanyakan rumah lama berubah wajah mengikut peredaran masa.
Ada yang diubah suai, ditambah ruang atau digantikan dengan binaan baharu.
Malah, bagi sesetengah keluarga, rumah lama itu semakin hilang fungsinya sebagai tempat berkumpul selepas pemergian generasi terdahulu.
Namun, pengalaman itu masih boleh dirasai di Temple Tree Resort Langkawi.
Resort ini menghimpunkan lapan rumah warisan dari beberapa lokasi di Malaysia, sebelum dipindahkan dan dipelihara sebagai penginapan.
Pengurusnya, Irene Vairo berkata, setiap satunya berusia kira-kira 100 tahun dan menyimpan jejak kehidupan terdahulu yang diterjemahkan semula sebagai pengalaman menginap.
Antaranya termasuk rumah estet, kediaman keluarga, rumah ladang dan rumah warisan dari Ipoh, Johor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan, selain Rumah Selat yang diberi sentuhan moden.
Istimewanya, setiap kediaman menampilkan pengaruh seni bina berbeza, daripada gaya Melayu, Cina dan kolonial British hingga pengaruh Aceh, Taiwan serta Serani.
“Struktur asal, warna rumah dan beberapa perabot dikekalkan bagi memelihara keaslian setiap kediaman.
“Ia bagaimanapun dilengkapi dengan kemudahan moden bagi memenuhi keperluan dan keselesaan tetamu tanpa menghilangkan ciri warisan yang ada,” katanya baru-baru ini.
Rumah Johor
Dibina kira-kira 120 tahun lalu, rumah ladang berwarna merah jambu ini merupakan kediaman sebuah keluarga Taiwan di Batu Pahat, Johor.
Pengaruh Taiwan masih dapat dilihat menerusi reka bentuk dan ciri asal rumah tersebut.
Rumah Johor mempunyai dua suite, masing-masing dengan dua bilik tidur iaitu Johor 1 di tingkat bawah dan Johor 2 di bahagian atas.
Malah, sekeping potret keluarga masih tergantung di dinding Johor 2.
Suite ini turut mempunyai ruang tamu luas dan beranda yang menghadap kolam renang, selain menawarkan pemandangan matahari terbenam.

Rumah Pulau Pinang
Rumah Pulau Pinang menampilkan seni bina unik yang menggabungkan unsur tempatan, Cina, India dan Islam.
Rumah yang terletak di Gurney Drive ini dibina pada awal 1930-an oleh seorang kontraktor Cina.
Warna asal bahagian luar rumah dan dua pintu masuknya masih dikekalkan.
Rumah setingkat ini terdiri daripada dua suite, masing-masing mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu dan pintu masuk peribadi.
Rumah ini sesuai untuk keluarga kerana kedua-dua suite boleh dihubungkan menerusi pintu berkembar, namun masih mempunyai pintu masuk dan ruang tamu berasingan.

dan Islam.
Rumah Kolonial
Dibina oleh tukang emas berketurunan Arab pada 1920-an, Rumah Kolonial merupakan kediaman besar yang suatu ketika dahulu berdiri megah di George Town, Pulau Pinang.
Rumah ini menampilkan gabungan pengaruh Timur dan Barat yang terserlah menerusi jubin lantai Peranakan serta cornice Eropah dengan ukiran halus.
Ia mempunyai empat suite dengan setiap satunya boleh disewa secara berasingan dan dilengkapi akses peribadi.
Ruang bersama pula merangkumi ruang makan untuk sehingga 10 tetamu, selain ruang tamu yang dilengkapi bar dan ruang santai.

Rumah Estet
Rumah Estet ialah bangunan panjang setingkat yang mencerminkan kediaman pekerja ladang pada awal hingga pertengahan abad ke-20.
Rumah ini menampilkan lantai terakota, dinding putih dan rasuk kayu tebal.
Asalnya terletak di Pasir Puteh, Ipoh, Perak, Rumah Estet kini diubah suai menjadi lima bilik tetamu.
Setiap satunya dilengkapi ruang santai, bilik mandi peribadi dan beranda.
Istimewanya, Estet 4 dan Estet 5 memiliki taman peribadi yang nyaman di bahagian belakangnya.

Plantation House
Rumah kayu dua tingkat ini asalnya milik seorang tukang Melayu di Pulau Pinang.
Pada 1920, rumah itu dijual kepada keluarga Cina berketurunan Hakka yang kemudian membina bahagian tambahan mengikut gaya mereka.
Ketika itu, rumah ini dikenali sebagai Tua Chua yang bermaksud rumah besar.
Pemiliknya, keluarga Cheong, merupakan penanam getah dan durian.
Kini, Plantation House mempunyai enam suite yang boleh menempatkan sehingga 18 tetamu.
Rumah ini turut menyediakan ruang santai bersama dan halaman separa terbuka yang lapang.

Rumah Negeri Sembilan
Rumah setingkat ini dahulunya merupakan kediaman keluarga di Mantin, Negeri Sembilan, sebelum diubah suai menjadi suite mewah.
Dibina pada 1920-an, kediaman seluas 120 meter persegi ini mengekalkan tingkap kaca berwarna yang menjadi antara ciri menariknya, selain dinding luar yang dicat hitam putih.
Ia mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu dan ruang makan, selain serambi terbuka yang luas, sesuai untuk aktiviti membaca atau menulis dalam suasana tenang.

Rumah Selat
Rumah Selat merupakan rumah masyarakat Serani berusia kira-kira 90 tahun dari Pulau Pinang yang dipulihara dan diubah suai menjadi vila persendirian.
Bahagian luar rumah mengekalkan ciri seni bina era kolonial, manakala ruang dalamannya diberi sentuhan moden dengan warna kuning terang dan biru langit.
Rumah ini mempunyai empat bilik tidur, selain ruang tamu, beranda luas dengan ruang makan dan kolam renang persendirian yang dikelilingi taman menghijau.
Lantai kayu asal rumah dikekalkan selepas melalui proses pewarnaan semula, selain jeriji siling yang masih dipelihara.
Empat almari pakaian yang ditempah khas, satu untuk setiap bilik tidur, pula mengetengahkan unsur budaya dan warisan Peranakan.
Rumah Ipoh
Pemilik asal rumah ini merupakan pelombong bijih timah di Ipoh.

Bahagian belakang kediaman ini dibina pada 1900 dalam gaya Aceh, manakala bahagian hadapan dibina tiga tahun kemudian dengan pengaruh kolonial yang sinonim dengan era tersebut.
Rumah Ipoh diubah suai menjadi restoran dan bar berkonsepkan retro-chic, selain menempatkan lobi kaunter penerimaan tetamu resort.
Istimewanya, meja makan panjang di restoran diperbuat menggunakan pintu bangsal berusia 150 tahun sebagai permukaan, manakala kakinya menggunakan mesin jahit antik.
Terbaharu, ia turut menawarkan penginapan di bahagian atas yang terdiri daripada lima bilik tetamu kontemporari.
Berbeza daripada rumah warisan ikonik resort yang menawarkan pengalaman menghayati seni bina tradisional Malaysia, Ipoh House Collection mengetengahkan penginapan moden dalam latar bangunan bersejarah.











