Tukang masak tak mengaku pecah amanah sebanyak RM19,361

Tukang masak tak mengaku pecah amanah sebanyak RM19,361

ONG Kah Meng (kanan) mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM19,361 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang tukang masak restoran makanan Jepun mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM19,361 antara Februari hingga Julai lalu.

Tertuduh, Ong Kah Meng, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan dua hakim berasingan.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang tunai berjumlah RM9,603 yang diamanahkan kepadanya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Wako Sushi Omakase, Gat Lebuh Acheh, pada pukul 3 petang, 24 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun selain dikenakan sebatan dan denda.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan ibu bapanya.

Hakim Irwan Suainbon kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM9,758. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang tunai RM1,601, RM7,057 dan RM1,100 di restoran sama.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama didakwa dilakukan pada pukul 3.49 petang, 12 Februari lalu, diikuti pertuduhan kedua pada pukul 4.52 petang, 4 Julai dan pertuduhan ketiga pada pukul 10 malam, 23 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen kemudian menawarkan jaminan RM45,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu, beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim Juraidah Abbas kemudian menetapkan wang jaminan RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Oktober depan bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×