Lelaki Rohingya dicekup pandu BMW 5 Series

Lelaki Rohingya dicekup pandu BMW 5 Series

MUHAMMAD KIFLI MA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU:  Dua lelaki warga asing termasuk seorang etnik Rohingya dicekup selepas memandu kereta jenis BMW 525 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Land Cruiser, di sini baru-baru ini.

Lelaki Rohingya berusia 36 tahun dan lelaki Bangladesh berusia 51 tahun yang berstatus Pemastautin Tetap itu ditahan menerusi Op Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kedua-dua kenderaan dipandu warga asing itu didapati tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kereta jenis BMW 525 dipandu lelaki etnik Rohingya itu ditahan di Jalan Pasir Hor di sini, pada 19 September lalu manakala pemandu SUV Toyota Land Cruiser pula di Tunjong keesokan harinya.

“Kereta BMW itu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Pemandunya yang disyaki menjalankan perniagaan runcit di Kelantan juga tidak mempunyai lesen memandu.

“Siasatan lanjut mendapati, lelaki Rohingya itu dipercayai membeli kereta tersebut daripada warga tempatan, namun pemilikannya tidak boleh ditukar atas nama warga asing,” katanya kepada pemberita di sini.

Muhammad Kifli berkata, warga Bangladesh yang memandu SUV jenis Toyota Land Cruiser bernilai RM780,000 itu dikatakan sudah 10 tahun bekerja sebagai kontraktor di negeri ini.

Katanya,  JPJ menafikan sekeras-kerasnya isu tular dalam media sosial yang mendakwa agensi itu membenarkan etnik Rohingya memiliki lesen memandu.

“Ia tidak pernah dibincangkan atau diputuskan oleh JPJ. Perkara itu adalah mustahil daripada sudut perundangan kerana golongan tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dan dokumen yang dimiliki etnik berkenaan dianggap tidak sah untuk membolehkan mereka memiliki lesen memandu,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×