PUTRAJAYA: Datuk Seri M Saravanan meluahkan rasa tidak puas hati apabila anak lelakinya yang baru berusia 12 tahun turut dikaitkan dalam isu pengisytiharan harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC mendakwa anak lelakinya itu turut mengalami trauma dan tidak mahu ke sekolah.
“Sebagai seorang bapa, saya menghormati institusi dan agensi kerajaan, namun tidak menjangka pengumuman berhubung siasatan itu turut menyentuh anak saya yang masih kecil.
“Saya pun manusia juga. Saya hormat institusi kerajaan, agensi kerajaan dan mereka juga ada tanggungjawab. Cuma satu, saya sebagai manusia biasa, sebagai bapa, saya tak puas hati apabila dalam siasatan biasa terhadap mana-mana pihak, tak perlulah sampai ketua pengarah sendiri mengumumkan anak-anak mereka disiasat,” katanya ketika ditemui selepas selesai menerima notis pengisytiharan harta oleh SPRM, di sini hari ini.
Saravanan berkata, beliau sebelum ini telah memaklumkan kepada pegawai SPRM bahawa anaknya masih berusia 12 tahun dan tidak mempunyai harta atas namanya.
“Anak saya mengalami sedikit fobia. Dia sampai tak nak pergi sekolah. Sebab dia budak-budak sekarang, semua orang baca media sosial. Itu yang kita risau, bila kaitkan anak-anak, macam mana kita dikutuk dalam media sosial,” katanya.
Katanya, keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila beliau dimaklumkan anaknya tidak perlu menandatangani notis dan boleh pulang selepas hadir ke SPRM pagi ini.
“Sepatutnya keputusan ini boleh dibuat awal,” katanya yang mempersoalkan mengapa keputusan berhubung anaknya itu hanya dibuat selepas mereka hadir ke SPRM.
Jelasnya lagi, pengumuman berhubung siasatan itu turut memberi kesan kepada keluarganya apabila beliau menjadi sasaran kecaman di media sosial.
“Orang kata dulu orang kutuk Tun Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri) yang paling buruk. Saya rasa Mahathir macam mana you kutuk pun, tak pernah sampai usik ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN











