Penduduk tidak masuk hutan selagi harimau belum ditangkap

Penduduk tidak masuk hutan selagi harimau belum ditangkap

PENDUDUK Kampung Takong, Pos Perwor di Sungai Siput, Perak berkawal untuk memastikan keselamatan selepas kejadian seorang lelaki kampung itu maut diserang harimau minggu lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Penduduk Kampung Takong, Pos Perwor di sini tidak akan memasuki hutan untuk mencari rotan atau buluh selagi harimau yang menyerang seorang penduduk sehingga maut minggu lalu belum ditangkap.

Tok Batin kampung itu, Ali Long, 54, berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan bersama penduduk demi memastikan ke­selamatan mereka terjamin.

Menurutnya, penduduk masih trauma dan takut bukan sahaja untuk memasuki hutan bagi mencari rezeki melalui rotan dan buluh malah keluar dari rumah susulan kejadian sera­ngan haiwan liar berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap malam kami berka­wal dan berjaga secara bergilir-gilir. Penduduk risau haiwan liar itu datang mencari mangsa lain pula selepas menyerang manusia Isnin lalu.

“Saya dan anak buah sudah berbincang dan penduduk tidak dibenarkan masuk ke hutan untuk mencari rotan atau buluh selagi harimau yang menyerang penduduk kampung ini masih belum ditangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, penduduk ber­ka­wal di sekitar kampung sejak kejadian serangan harimau terhadap seorang penduduk pada Isnin lalu.

Katanya, mereka masih berada dalam ketakutan susulan kejadian itu dan berharap tragedi itu tidak berulang.

“Kami bersama anggota Rela sentiasa berkawal di sini sejak kejadian penduduk kampung ini maut diserang harimau ketika mencari rotan di hutan.

“Kami bimbang haiwan itu mungkin masih ada di sekitar kawasan ini. Selagi belum ma­suk perangkap, kami tidak akan rasa senang hati. Setiap kali anjing-anjing di kampung ini menyalak, kami rasa bimbang, mungkin nampak sesuatu di kampung ini,” katanya.

Katanya, peringatan turut dikongsi dalam kumpulan WhatsApp penduduk supaya sentiasa berwaspada ketika ke sungai atau keluar rumah termasuk ke kedai dan ketika menjemur pakaian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×