Bangkai harimau belang cecah RM300,000

Bangkai harimau belang cecah RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bangkai harimau belang (panthera tigris jacksoni) yang ditemukan dalam sebuah kenderaan dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor dipercayai untuk diperdagangkan dalam pasaran gelap.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, nilai harimau itu dianggarkan antara RM250,000 hingga RM300,000.

Menurutnya, Perhilitan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat, susulan tangkapan tiga suspek berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita percaya kegiatan ini melibatkan sindiket pemerdagangan hidupan liar. Setiap anggota badan harimau itu mempunyai nilai di pasaran gelap.

“Operasi membanteras pemburuan haram sememangnya menjadi fokus utama dalam usaha melindungi Harimau Malaya serta hidupan liar terancam yang lain,” katanya hari ini.

Pada Selasa lalu, cubaan tiga lelaki menyimpan bangkai seekor harimau belang berjaya dibongkar dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh yang dijalankan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Perhilitan.

Beliau berkata, populasi harimau belang kini hanya direkodkan di kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan yang terletak di lapan negeri.
Jelasnya, negeri-negeri tersebut ialah Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ini menunjukkan bahawa habitat semula jadi harimau kini sangat terhad dan tertumpu kepada kawasan perlindungan yang masih mempunyai ekosistem hutan yang sesuai untuk kelangsungan hidup spesies ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini