Moratorium buat penyewa kedai, rumah - Utusan Malaysia

Moratorium buat penyewa kedai, rumah

Ramai berharap ada khabar gembira pengumuman Bajet 2022 espk. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pemilik bangunan dan kediaman digesa memberi moratorium enam bulan kepada penyewa masing-masing agar rakyat yang terkesan dengan Covid-19 dapat sama-sama menikmati kemudahan yang diumumkan kerajaan.

Ini kerana hampir semua peniaga dan pekerja sedang berdepan masalah kewangan apabila perniagaan dan syarikat terpaksa ditutup sejak Jun lalu dan bebanan tersebut berlarutan di Selangor dan Kuala Lumpur apabila dikenakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jika langkah ini mendapat sambutan, kempen bendera putih untuk meraih bantuan, tindakan bunuh diri dan masalah kekeluargaan dapat ditangani sedikit sebanyak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, misalnya penyewa kedai terpaksa membayar sewa premis bulanan sekitar RM5,000 hingga RM20,000 kepada pemilik bangunan sedangkan perniagaan mereka dilarang beroperasi dan menyebabkan mereka tiada pendapatan untuk menjelaskan kos tersebut.

Menurut beliau, nasib sama dialami penyewa kediaman yang bermasalah membayar sewa antara RM600 hingga RM2,500 sebulan kerana ketika ini ramai dipotong gaji atau ditamatkan terus pekerjaaan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

“Dalam situasi hari ini, pemilik bangunan dan kediaman tidak boleh ambil untung atas angin dan menangguk di air keruh apabila mereka menikmati habuan moratorium daripada bank tetapi terus mengutip sewa daripada pelanggan yang tidak boleh buka kedai atau penyewa rumah yang hilang kerja,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, tauke bangunan dan pemilik rumah wajar mempunyai sifat simpati dengan situasi semasa yang sedang menimpa hampir semua rakyat sehingga kempen bendera putih kini menjadi-jadi.

“Sepatutnya inisiatif kerajaan memberi moratorium dapat dinikmati semua rakyat tanpa seorang pun tercicir,” kata beliau.

Jacob memberitahu, berdasarkan kajian CASSA, lima daripada sepuluh kedai makanan di semua premis di Selangor kini hanya memperoleh hasil jualan sekitar RM100 sehari selepas ditolak gaji pekerja.

“Lebihan duit tersebut pula perlu digunakan untuk bayar sewa kedai, kos utiliti dan bahan mentah. Apatah lagi pula sekarang Perintah Pelaksanaan Kawalan Diperketatkan (PKPD), menyebabkan pelanggan tidak ramai keluar membeli.

“Tindakan pemilik bangunan tidak beretika apabila menerima moratorium tetapi masih mengenakan sewa, kalau ini berlaku apa gunanya kita memperjuangkan kemudahan ini tetapi akhirnya golongan tertentu terus tercicir,” kata Jacob.

Katanya, jika pemilik bangunan atau premis perniagaan enggan membantu penyewa akan lebih banyak premis perniagaan terpaksa gulung tikar akhir bulan ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, meskipun tiada kawal sedia Bank Negara berhubung perkara itu namun pemilik bangunan boleh memperluaskan manfaat moratorium kepada penyewa.

Bagaimanapun, beliau berkata, perlu ada rundingan kedua-dua pihak kerana adakalanya terdapat bayaran masih perlu dijelaskan pemilik bangunan atau pemilik rumah yang tidak semua mendapat pelepasan seperti kos penyelenggaraan dan cukai pintu.

“Kalau tidak dapat bagi semua sekali pun, kurangkan kos sewa dengan bayar separuh atau bayar sikit-sikit. Ini secara tidak langsung dapat kurangkan beban penyewa.

“Kita akui pemilik pun ada terkesan contoh pemilik bangunan atau pemilik rumah hanya mengharapkan duit penyewa untuk sara hidup diri.

“Jadi macam mana mereka mahu melanjutkan moratorioum itu kepada penyewa. Justeru isu ini perlu dirunding sebaik-baiknya agar hasilnya menang-menang,” katanya.

Seorang peniaga butik pakaian di Kajang yang mahu dikenali sebagai Nijaz berkata, sejak tahun lalu perniagaan pakaiannya kurang `baik’ kesan beberapa siri PKP dan ketika beberapa bulan kerajaan membenarkan operasi tetapi rakyat sudah macam hilang `mood’ untuk beli pakaian.

Nijaz memberitahu, lebih membebankan apabila perintah total lockdown pada Jun lalu, kerajaan sekali lagi tidak membenarkan operasi kedai pakaian menyebabkan beliau hilang sekali lagi punca pendapatan secara total.

“Walaupun kedai tidak boleh buka, tetapi pemilik bangunan wajibkan kami bayar sewa bulanan dengan diskaun 20 peratus sahaja.

“Mana mungkin saya boleh bertahan jika keadaan perniagaan ditutup tetapi saya perlu melunaskan sewa kedai di tingkat satu bangunan itu yang mencecah RM6,000 sebulan selepas potongan,” luahnya yang buntu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Presiden Penaja Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar pula berkata, banyak pengusaha kecergasan tersebut `menderita’ dan menyifatkan sektor tersebut sejak tahun lalu lagi menggantung `bendera putih’.

“Kami meminjam bank untuk buka gimnasium tetapi sudah masuk tahun kedua gimnasium sering kali diarah tutup. Macam mana mahu dapat pulangan,” kata beliau ketika dihubungi.

Menurut Krishna, walaupun pihak pengusaha diberi moratorium tetapi masalahnya sewa premis dan gaji pekerja kena bayar.

Katanya, tindakan kerajaan mengenakan PKP atau PKPD memang `membunuh’ pengusaha kecergasan kerana pengusaha diibaratkan terpaksa `menyara’ pemilik premis atau bangunan tetapi premis yang dibayar sewa itu tidak boleh beroperasi.

“Hakikatnya banyak gimnasium sudah gantung `bendera putih’. Ada antara pusat tersebut sedang jual peralatan gimnasium kerana sudah tidak mampu bangkit lagi selepas ini,,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×