Warisi semangat ayah, Adeola jadi juara Asia

Warisi semangat ayah, Adeola jadi juara Asia

ADEOLA (tengah) bersama ayah (kiri) dan keluarganya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kecil, Adeola Fay Robert sudah tidak asing dengan dunia seni mempertahankan diri apabila bapanya sendiri merupakan jurulatih Shorinji Kempo, namun tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa minat yang dicetuskan keluarga itu akhirnya membawanya bergelar juara Sukan Asia 2026.

Atlet kelahiran Sabah berusia 20 tahun itu kemudian memilih karate sebagai gelanggangnya sendiri apabila mula mengenali sukan berkenaan ketika berusia sembilan tahun sebelum menyertai kejohanan peringkat negeri.

Daripada sekadar mencuba, Adeola mula menikmati setiap pertandingan yang disertainya sehingga karate perlahan-lahan menjadi sebahagian besar dalam kehidupannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ayah saya juga seorang jurulatih dalam seni mempertahankan diri Shorinji Kempo.

“Saya mula terlibat dalam karate ketika berusia sembilan tahun dan mula menyertai kejohanan peringkat negeri ketika itu, sebelum lama-kelamaan saya semakin menyukai sukan ini,” kata Adeola kepada Mingguan Malaysia.

ADEOLA menunjukkan pingat emas Sukan Asia.

Pilihan itu akhirnya membawa Adeola ke pentas terbesar apabila dia mencipta kejutan pada penampilan sulung di Aichi-Nagoya dengan menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) untuk menghadiahkan emas pertama kontinjen Malaysia.

Namun, karate bukan satu-satunya sukan yang pernah mewarnai perjalanan atlet berkenaan apabila dia turut menceburi olahraga termasuk lompat tinggi dan acara balapan serta bola jaring hingga ke peringkat MSSM pada 2022 di Pulau Pinang.

“Saya pernah bermain sukan lain seperti olahraga iaitu lompat tinggi dan acara balapan termasuk bola jaring, malah dalam sukan bola jaring saya terlibat sehingga peringkat MSSM pada 2022 di Pulau Pinang, tetapi setakat ini karate yang paling dekat dengan saya,” katanya.

Jalan menuju kejayaan bagaimanapun tidak sentiasa mudah apabila Adeola terpaksa berjauhan dengan keluarga, menjalani latihan intensif setiap hari, melakukan latihan tambahan serta berdepan kecederaan dan sakit.

Lebih mencabar, kehidupan sebagai atlet turut memerlukan dia membahagikan masa antara latihan dan pengajian apabila rutin hariannya diisi dengan latihan, masuk kelas dan kembali menjalani latihan selepas itu.

“Rutin saya sangat padat kerana lepas latihan saya masuk kelas dan selepas kelas saya pergi latihan lagi, tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak mencapai sesuatu kejayaan.

“Walaupun sakit atau cedera, saya tetap berlatih dan ada juga pertandingan yang keputusannya tidak seperti saya harapkan, tetapi pengalaman itu banyak mengajar saya untuk menjadi lebih kuat dan matang sebagai atlet,” katanya.

Di sebalik segala cabaran itu, keluarga kekal menjadi sumber kekuatan utama Adeola, selain jurulatih, rakan sepasukan serta pihak yang terlibat sepanjang berada dalam skuad kebangsaan termasuk MAKAF, MSN dan ISN.

ADEOLA ketika beraksi aksi final karate 55kg di Sukan Asia

Kini, Adeola menjalani kehidupan sebagai atlet sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan di bawah Program Podium sejak Januari, namun tetap meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dengan impian untuk bergelar seorang pendidik suatu hari nanti.

Pingat emas Aichi-Nagoya menjadi kemuncak setakat ini kepada perjalanan yang bermula daripada keluarga dan gelanggang seni mempertahankan diri, tetapi Adeola tidak mahu menjadikan pencapaian itu sebagai noktah.

“Saya sangat bersyukur dengan apa yang sudah saya capai setakat ini, tetapi saya rasa perjalanan saya masih panjang kerana masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki.

“Impian saya adalah untuk terus membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi, mencapai lebih banyak kejayaan di kejohanan antarabangsa dan menjadi atlet yang lebih baik daripada diri saya hari ini kerana saya tidak mahu terlalu selesa dengan satu pencapaian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×