AS rasa bimbang, Beijing peroleh komponen F-35 - Utusan Malaysia

AS rasa bimbang, Beijing peroleh komponen F-35

GAMBAR fail sebuah jet F-35. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China memperoleh komponen yang berpotensi mengandungi teknologi sensitif daripada F-35, jet pejuang kalis radar paling canggih milik tentera Amerika Syarikat (AS), lapor Bloomberg  pada Khamis.

Ia memperolehnya selepas komponen berkenaan secara tidak dijangka dialihkan ke Hong Kong ketika dihantar dari Australia ke AS, lapor laman berita itu memetik individu yang diberi taklimat mengenai insiden itu.

Insiden yang pertama kali dilaporkan Politico itu berlaku awal tahun ini tetapi hanya didedahkan dalam minggu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia berlaku apabila penghantaran komponen F-35 dari Australia yang didakwa tidak lagi boleh digunakan dan sepatutnya dihantar ke AS telah dilencongkan.

Syarikat perkapalan gergasi AS, UPS, membawa penutup ruang juruterbang F-35 dan pintu ruang persenjataan dari Tentera Udara Australia ke AS untuk pemeriksaan serta kemungkinan dibaiki atau dilupuskan, menurut individu yang mengetahui mengenai insiden itu kepada Bloom­berg. 

Kedua-dua komponen yang dihasilkan Lockheed Martin itu disalut dengan bahan penye­rap radar.

Ia  direka untuk meningkatkan keupayaan pesawat mengelak dikesan radar, me­nurut dua sumber yang dipetik agensi itu.

Seorang daripada sumber berkenaan berkata, pesawat pengangkut itu singgah di Korea Selatan dalam perjalanan ke AS, sebelum penghantaran berkenaan dilencongkan ke Hong Kong. 

Tidak jelas mengapa pesawat itu singgah di Korea Selatan dan kenapa ia dihantar ke Hong Kong atau sama ada peng­alihan itu dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, kata sumber tersebut. 

Dua sumber menambah bahawa pihak berkuasa China kemudian merampas komponen berkenaan, yang masih belum dikembalikan.

F-35, antara jet pejuang pa­ling canggih di dunia, digunakan kira-kira 20 negara termasuk Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Australia. 

Australia berfungsi sebagai hab serantau di Indo-Pasifik bagi penyimpanan alat ganti dan penyelenggaraan F-35 yang digunakan sekutu AS di rantau berkenaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×