Pertamina nafi jual kapal ditahan di Malaysia - Utusan Malaysia

Pertamina nafi jual kapal ditahan di Malaysia

IBU Pejabat Pertamina di Jakarta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Syarikat PT Pertamina International Shipping (PIS) menafikan laporan bahawa kapal PIS Pioneer yang kini ditahan di perairan Muar, Malaysia, telah dijual, sambil menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memberi kuasa kepada sesiapa untuk menjual kapal berkenaan.

“Ini tidak benar. PIS tidak mempunyai rancangan untuk menjual PIS Pioneer,” kata Pemangku Setiausaha Korporat PIS, Vega Pita pada Jumaat.

Beliau berkata, PIS kini terlibat dalam pertikaian dengan MEG, salah satu rakan niaganya di Malaysia, dan kes berkenaan sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Malaya serta Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai syarikat perkapalan yang beroperasi di pasaran antarabangsa, Vega menegaskan PIS mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan, termasuk oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC).

“PIS memastikan tiada kapal milik syarikat dikenakan sekatan OFAC. Perkara ini boleh disemak dan disahkan menerusi laman sesawang OFAC,” katanya.

Menurut beliau, PIS Pioneer masih ditahan di perairan Muar, Malaysia, dan syarikat itu terus memantau keadaan anak kapal serta kapal berkenaan secara rapi.

“Keselamatan dan kesejahteraan anak kapal kekal menjadi keutamaan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, PIS mengutamakan penyelesaian pertikaian itu dengan niat baik menerusi rundingan dan komunikasi secara konstruktif sebelum mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.

Pertamina turut menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan terus melakukan segala usaha sepanjang prosiding berkenaan, tambahnya.

Vega berkata, PIS menerima sokongan penuh daripada pelbagai kementerian dan institusi kerajaan Indonesia dalam usaha menyelesaikan pertikaian itu. 

Antaranya Kementerian Luar, Pejabat Kakitangan Presiden (KSP), Kementerian Sekretariat Negara, Pejabat Peguam Negara, Tentera Laut Indonesia, Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan..

Sokongan itu bertujuan memastikan layanan adil dan perlindungan terhadap kapal berkenaan sebagai aset strategik serta anak kapalnya, di samping menegakkan prinsip tadbir urus korporat yang baik dan mematuhi undang-undang yang terpakai, katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×