Tentera Israel cabut 400 pokok zaitun milik penduduk Palestin di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Tentera Israel cabut 400 pokok zaitun milik penduduk Palestin di Tebing Barat

SEBUAH jentolak Israel mencabut pokok zaitun di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Tentera Israel bertindak meratakan kawasan pertanian seluas 3.1 hektar dan mencabut 400 pokok zaitun milik penduduk Palestin di Beit Rima, barat laut Ramallah, Tebing Barat yang diduduki semalam.

Sumber tempatan memaklumkan kepada agensi berita Anadolu bahawa beberapa jentolak menceroboh dan meratakan tanah berkenaan hanya dua hari selepas pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah tentera yang menyasarkan dua kawasan pertanian di bandar tersebut.

Perintah tentera berkenaan menuntut pembersihan tumbuh-tumbuhan liar dan pemusnahan pokok-pokok zaitun serta tanaman lain di kawasan yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin mengesahkan bahawa pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan lima perintah tentera bagi memusnahkan tanaman di kawasan seluas 53.35 hektar merangkumi wilayah Jenin, Ramallah dan Al-Bireh.

Berdasarkan data suruhanjaya tersebut, sebanyak 51 perintah pemusnahan pokok dan tumbuhan telah dikeluarkan oleh Israel di Tebing Barat sejak awal tahun hingga September 2026, yang menyasarkan keseluruhan tanah seluas 209.3 hektar. 

Tindakan meratakan tanah ini berlaku ketika penduduk Palestin sedang membuat persiapan menghadapi musim menuai buah zaitun yang secara lazimnya bermula pada bulan Oktober.

Ia sekali gus menjejaskan punca pendapatan ribuan keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian itu.

Seorang penduduk tempatan berusia 65 tahun, Afrah Qadura, mendedahkan bahawa penduduk hanya mengetahui mengenai perintah tersebut dua hari lalu menerusi peta yang dipamerkan di bangunan majlis perbandaran.

Menurut beliau, pemilik tanah hanya diberikan tempoh 12 jam untuk mencabut sendiri pokok-pokok berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil oleh tentera Israel.

“Bagaimana mungkin untuk kami mencabut sendiri pokok-pokok yang ditanam oleh nenek moyang kami dengan tangan kami sendiri?” kata Qadura.

Beliau menjelaskan bahawa pokok-pokok zaitun yang dimusnahkan itu ditanam secara berperingkat sejak akhir tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an sehinggalah 1990-an, di mana kebanyakannya telah menjadi sumber rezeki utama keluarga sejak sekian lama.

“Kami memelihara pokok-pokok ini dengan penuh rasa bangga seperti membesarkan anak sendiri,” kata Qadura sambil menceritakan kenangan beliau dan arwah bapanya mengangkut air dari telaga untuk menyiram benih pokok-pokok berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa kehilangan pokok zaitun itu dirasakan seperti kehilangan anak sendiri. 

Namun, tindakan rejim Israel tidak akan sesekali menghentikan iltizam kumpulannya untuk terus menetap di tanah berkenaan.

“Kami akan terus menanam semula pokok-pokok ini sebagaimana yang dilakukan oleh bapa saya dahulu, dan anak-anak kami pula akan meneruskannya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Bani Zeid al-Gharbia, Abdul Rahman al-Rimawi melahirkan rasa terkejut apabila jentolak tentera Israel tiba-tiba menceroboh dan memusnahkan pokok-pokok zaitun matang di kawasan seluas 3.1 hektar berkenaan tanpa sebarang belas kasihan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×