LONDON: Tindakan seorang hakim yang bersidang dari katilnya dan berdepan kesukaran mengendali dokumen digital dalam bentuk format dokumen boleh alih (PDF) selepas menjalani pembedahan disifatkan sebagai tidak wajar, menurut keputusan Mahkamah Rayuan.
Richard Clayton KC sedang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi apabila beliau mengendalikan kes rayuan membabitkan seorang pakar optometri yang digantung kerja menerusi pautan video.
Clayton dilaporkan baru sahaja menjalani pembedahan sehari sebelum itu.
Beliau menjalani pembedahan akibat masalah urat tumit yang koyak dan sedang bergelut dengan daya tahan fizikal serta stamina diri.
Meskipun dalam keadaan sedemikian, beliau meneruskan prosiding dan menolak rayuan yang dikemukakan oleh pakar optometri berkenaan, Suleman Patel.
Patel sebelum ini didapati bersalah atas salah laku serius dan digantung perkhidmatan selama sembilan bulan.
Pakar itu kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan dengan berhujah bahawa keputusan tersebut tidak adil.
Semasa prosiding berlangsung, Clayton sendiri mengaku bahawa beliau berdepan kesukaran untuk menyemak senarai dokumen bernombor dan tidak mampu membuat catatan prosiding.
Beliau turut menyatakan rasa letih selain menyifatkan kes itu menguji staminanya.
Clayton turut memaklumkan bahawa beliau dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berdiri selama lapan hari selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Ia agak rumit tetapi bukanlah perkara yang mustahil untuk mengendalikan pendengaran ini sebahagian besarnya dari posisi tidak duduk,” kata hakim itu pada akhir prosiding. – AGENSI











