KUALA TERENGGANU: Bermula dengan hanya dua buah bot yang dibaiki dan diubah suai, pengusaha bot pelancong, Ramli Man atau lebih dikenali sebagai Pak Ali kini memiliki 11 bot untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Terengganu hingga ke Jambatan Angkat, di sini.
Idea yang tercetus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bukan sahaja berkembang menjadi sumber pendapatan malah membuka peluang pekerjaan kepada anak muda di Kampung Pulau Sekati, di sini.
Ramli, 64, berkata, pada mulanya dia hanya menawarkan perkhidmatan membawa pelancong menyusuri sungai.
“Saya nampak peluang selepas PKP kerana ketika itu ramai orang mula mencari aktiviti pelancongan dan pada masa sama mahu membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung.
“Saya menjadi antara orang pertama yang menawarkan perkhidmatan bot pelancong susur sungai di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, pada peringkat awal, dia menggunakan dua bot yang diserahkan kepadanya sebelum dibaiki dan diubah suai bagi membawa pelancong.
Katanya, kadar yang dikenakan ialah RM30 seorang bagi satu perjalanan atau RM150 untuk sebuah bot yang memuatkan lebih lima penumpang.
“Alhamdulillah, sambutan semakin baik dan daripada dua bot kini kami sudah mempunyai 11 bot termasuk tiga bot yang baru dibeli. Setiap bot mampu melakukan sehingga 15 perjalanan sehari terutama ketika cuti sekolah, dengan operasi bermula seawal pukul 7 pagi hingga 7 malam,” katanya.
Ramli berkata, perkhidmatan di bawah Pulau Sekati Bot Tours itu beroperasi setiap hari dan menerima permintaan tinggi terutama pada hujung minggu serta musim cuti persekolahan.
“Tempahan biasanya dibuat lebih awal dan kalau datang secara terus, belum tentu ada kekosongan kerana kebanyakan perjalanan sudah ditempah,” katanya.-UTUSAN.











