Ciri lestari, risiko iklim perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2027 - Utusan Malaysia

Ciri lestari, risiko iklim perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2027

VIC SITHASANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerapan elemen kelestarian dan perlindungan daripada risiko bencana seperti banjir serta tanah runtuh perlu dijadikan keutamaan dalam perancangan perumahan Belanjawan 2027 bagi mengurangkan beban kos penyelenggaraan jangka panjang isi rumah.

Pengarah Urusan PropertyGuru Malaysia & iProperty Malaysia, Vic Sithasanan berkata, ketidaktentuan iklim kini menjadi antara pertimbangan utama rakyat dalam menentukan kediaman yang benar-benar mampu ditanggung.

Menurut beliau, Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru separuh pertama 2026 mendapati 78 peratus responden mengambil kira risiko iklim seperti banjir dan tanah runtuh sebelum membuat keputusan membeli hartanah, manakala 86 peratus menganggap ciri-ciri lestari penting ketika membeli atau menyewa kediaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar sewa atau ansuran pinjaman perumahan yang lebih rendah tidak semestinya bermakna sesebuah kediaman lebih mampu milik jika ia terdedah kepada risiko bencana atau mempunyai bil utiliti yang mahal.

“Oleh itu, kecekapan tenaga, kebolehdiaman, ketersambungan serta daya tahan terhadap perubahan iklim bukan lagi sekadar pilihan gaya hidup, sebaliknya faktor kritikal yang menentukan perbelanjaan bulanan isi rumah,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Sithasanan berkata, Belanjawan 2027 memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai kemampuan memiliki atau menyewa kediaman daripada sudut yang lebih menyeluruh, merangkumi kos sara hidup sebenar di sesebuah lokasi.

“Kenyataan Pra-Belanjawan Kementerian Kewangan yang meletakkan pemilikan dan kemampuan menyewa seiring dengan pengangkutan awam serta kebolehdiaman bandar menunjukkan keperluan untuk menangani tekanan kos isi rumah secara bersepadu.

“Ini termasuk mengiktiraf pasaran sewaan sebagai komponen teras ekosistem perumahan negara selaras dengan Dasar Perumahan Negara 2026–2035, memandangkan data carian hartanah sewaan kini mengatasi carian hartanah untuk dijual dengan 81 peratus penyewa menyifatkan kadar sewa semasa terlalu tinggi,” katanya.

Tambah beliau, penggubal dasar dan pemain industri juga disaran memanfaatkan petunjuk data permintaan swasta secara teragregat bagi merancang pembangunan infrastruktur dan kediaman mengikut keperluan setempat.

“Membincangkan pemilikan rumah, sewaan, ketersambungan, infrastruktur dan kebolehdiaman secara bersepadu dalam Belanjawan 2027 akan membantu dasar perumahan negara lebih mencerminkan cara rakyat Malaysia hidup, bergerak dan membuat keputusan hari ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×