Logo bulan kurang diterima, PN berdepan cabaran

Logo bulan kurang diterima, PN berdepan cabaran

PAS salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi parti paling cemerlang apabila merekodkan kemenangan di 105 daripada keseluruhan 126 kerusi ditandingi mereka dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas dijangka berdepan kesukaran untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung semua aktiviti gabungan politik itu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, keputusan itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan PN untuk memasuki gelanggang PRN Melaka.

Beliau berkata, Pas juga dijangka tidak menggunakan logo bulan pada PRN Melaka kerana menyedari penerimaan terhadap lambang itu kurang berbanding di negeri-negeri Pantai Timur.

“Kalau guna lambang bulan, susah sikit orang nak terima. Jadi, kita nampak benda tu juga mempengaruhi nanti di PRN Melaka.

“Tapi Pas berkeyakinan bahawa kalau bertanding dia boleh menang lebih banyak daripada UMNO, itu yang Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) cakap, berasaskan pada kerusi Parlimen masa Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 lalu,” katanya.

“Apabila digantung semua aktiviti ni, agak sukar sikit bagi Pas untuk membuat persiapan. Sebab jenama PN merupakan jenama yang dikenali terutama untuk di Melaka.

“Kalau guna lambang bulan, susah sikit orang nak terima. Jadi, kita nampak benda tu juga mempengaruhi nanti di Melaka nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa kelmarin mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), yang dipercayai berkait rapat dengan aduan dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada jabatan itu.

Dalam pada itu, Mazlan berpandangan agenda penyatuan ummah pada PRN Melaka dijangka menemui jalan buntu berikutan pola pengundi yang hampir sama serta kepentingan politik setiap parti yang terlibat.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada gabungan yang membuat keputusan berhubung kerjasama pada PRN berkenaan, sedangkan perkara itu dilihat lebih mudah diputuskan ketika PRN Negeri Sembilan.

Katanya, UMNO dilihat sukar untuk mempercayai Pas dan dijangka mahu mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya, selain hanya mahu bekerjasama dengan Pas dan bukan keseluruhan PN.

“Jadi Parti Wawasan Negara (Wawasan) macam mana? Mesti akan ditinggalkan. Kalau ditinggalkan, adakah Pas sanggup tinggalkan Wawasan? Dan berapa UMNO nak bagi kerusi DUN? Sedangkan mahu pegang 21 kerusi disandang.

“Saya rasa Pakatan Harapan (PH) lebih terbuka berbanding Pas kerana kawasan dipengaruhi mereka adalah kawasan Cina dan campuran. Jadi kalau PH dengan BN berkejasama, kurang tekanan di situ,” katanya.

Sekiranya kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) terjalin, beliau berkata, PH dijangka memberi laluan kepada BN untuk bertanding di DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

“Saya rasa PH sendiri tahu ukur baju di badannya sendiri, kerana mereka tidak akan menang di kawasan majoriti Melayu.

“Tetapi kita pun nampak macam susah nak meramalkan situasi ini, kemungkinan bertanding secara sendiri iaitu seperti di PRN Sabah, ada kawasan tertentu yang mereka bertanding antara sesama sendiri dan ada kawasan mereka bekerjasama,” katanya.

Mengenai masa depan Bersatu, Mazlan yakin parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan bekerjasama dengan PH.

“Bersatu nak pergi ke BN, BN takkan nak dekat dia. Dia nak pergi dengan PAS, PAS sudah buang dia. Dia nak pergi kepada parti-parti kecil, mereka akan habis.

“Tinggal satu gabungan sahaja yang boleh dituju oleh Bersatu iaitu PH. Jadi gabungan kerjasama PH dengan Bersatu pasti berlaku dan kabarnya mereka sudah berunding,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×