NYANYIAN lagu-lagu patriotik oleh artis budaya PENTARAMA Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), persembahan muzik secara langsung, sembang santai dan edaran Jalur Gemilang antara pengisian program PENTARAMA Merdeka@HOHO 2026.
Biarpun setiap hentian diperuntukkan hanya 20 minit, namun semangat orang ramai yang hadir dilihat cukup bergelora sekali gus melambangkan keutuhan dan kejituan semangat cinta akan negara yang juga antara mesej yang dibawa menerusi program ini.
Melibatkan dua siri pelaksanaan, program yang memasuki tahun ketiga ini menerima penglibatan kira-kira 4,000 orang awam bagi dua kali pelaksanaan dalam tempoh Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) iaitu pada Sabtu, 22 Ogos dan 12 September 2026.
Tiga lokasi hentian tumpuan bagi pelaksanaan program pada Sabtu, 22 Ogos 2026 ialah di SOGO Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, dan Pavilion Kuala Lumpur.
Sementara tiga lokasi hentian tumpuan bagi pelaksanaan program pada Sabtu, 12 September 2026 ialah Dataran Merdeka, Sungei Wang Plaza dan Pavilion Kuala Lumpur.
Ketika turun padang menyertai program berkenaan, Ketua Pengarah Penerangan, Erwin Khairul Ahmad berkata pendekatan ini membolehkan mesej patriotisme, kebersamaan dan perpaduan disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat.
“Program ini bukan acara rasmi atau istiadat, namun bertujuan menyampaikan hasrat serta dasar kerajaan kepada masyarakat bahawa semangat patriotik perlu sentiasa disematkan dalam dada setiap rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan,” katanya.
PENTARAMA Merdeka@HOHO merupakan satu daripada program sisipan sempena HKHM 2026 yang dilaksanakan oleh JAPEN dalam bentuk jelajah persembahan pentas secara bergerak menggunakan bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) bagi mempromosikan sambutan HKHM 2026 serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Program ini telah dilaksanakan secara rintis pada tahun 2024 di bandar raya Kuala Lumpur dan diteruskan pada tahun 2025 dengan melibatkan beberapa buah lokasi di negeri Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain meningkatkan semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan masyarakat, program ini turut menyemarakkan semangat kibar Jalur Gemilang serta penglibatan masyarakat dalam sambutan HKHM 2026.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama daripada Elang Wah Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pemilik dan pengurusan lokasi program.-UTUSAN











