KUALA LUMPUR: Potensi pelaburan sebanyak RM60 juta melalui penyertaan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sedang (PMKS) serta koperasi tempatan menjadi sasaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sasaran itu disokong menerusi penyertaan seramai 43 pempamer yang terdiri daripada pelbagai kategori keusahawanan iaitu 36 usahawan PMKS, lima koperasi, dan dua rakan strategik kementerian.
Menurutnya, jumlah penyertaan itu merekodkan peningkatan berbanding 32 usahawan pada edisi tahun lalu, membolehkan sasaran potensi jualan dinaikkan daripada RM30 juta sebelum ini.
“Tahun ini, kami membawa 43 usahawan PMKS dan sasaran jualan tahun ini kami harap syarikat-syarikat yang hadir boleh mencapai atau mencecah RM60 juta. Ini sasaran kami.
“Penyediaan Pavilion Kuskop di MIHAS 2026 ini merupakan bukti nyata komitmen berterusan kementerian dalam memperkasa usahawan dan koperasi tempatan.
“Terutamanya, untuk menembusi pasaran halal global menerusi sokongan pemadanan perniagaan serta akses ekosistem eksport,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Pavillion Kuskop di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Dalam pada itu, Kuskop turut memeterai tiga kolaborasi strategik bersama entiti industri utama bagi memperkasakan lagi ekosistem keusahawanan halal negara.
Mengulas mengenai potensi pasaran produk halal di luar negara, katanya, produk halal keluaran Malaysia mendapat tempat di peringkat antarabangsa terutamanya di China.
“Saya telah berjumpa dengan syarikat e-dagang di China dan antara komen yang saya terima adalah produk Halal Malaysia mendapat sambutan.
“Dalam perbincangan kita juga, saya telah mencadangkan untuk membentuk, mendirikan Malaysian Mall.
“Di mana produk-produk SME Malaysia, termasuk produk-produk halal boleh dipasarkan melalui platform e-dagang antarabangsa ini ke pasaran luar negara termasuk China,” katanya. – UTUSAN











