Kepincangan dalaman punca PN digantung RoS

Kepincangan dalaman punca PN digantung RoS

AHMAD Zahid Hamidi pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kepincangan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa menjadi punca penggantungan pendaftaran gabungan tersebut oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, penggantungan semua aktiviti PN ekoran rungutan atau aduan yang dikemukakan oleh salah sebuah parti gabungan itu.

“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku di dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat.

“Kita harap perkara ini dihadapi dengan tenang terutamanya parti-parti yang bergabung dalam PN yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah semalam.

Beliau mengulas perkembangan RoS yang mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa semalam.

RoS menjelaskan notis berke­naan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ia bukannya membatalkan gabungan parti tersebut seperti ditular kelmarin.

Ahmad Zahid berkata, Akta Pertubuhan 1966 dipraktikkan untuk menjaga kepentingan ahli atau anggota pertubuhan yang berdaftar dengan RoS.

“PN mungkin mempunyai perancangan sendiri sekiranya penggantungan itu diteruskan seperti menggunakan lambang parti masing-masing,” katanya.

Mengenai PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurutnya, BN akan mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti gabungan atau parti-parti politik yang mahu menjalin kesefahaman dengan BN Melaka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×