PETALING JAYA: Penjelasan Menteri Besar Negeri, Datuk Ismail Lasim berhubung isu krisis adat Negeri Sembilan masih belum menjawab pelbagai persoalan yang berlaku di negeri itu.
Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, meskipun terdapay kenyataan tujuh muka yang dibacakan oleh Ismail, namun ia tidak langsung menjawab pendirian beliau khususnya membabitkan Surat Cara Proklamasi kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertua Besar.
Katanya, Ismail pada 9 September mendakwa tandatangannya pada proklamasi berkenaan dibuat secara paksaan dan turut membuat laporan polis, selepas pada 6 September menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.
“Pada 15 September, Ismail masih menyatakan bahawa sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan dan persoalan sumber kuasa, syarat serta prosedurnya perlu ditentukan.
“Tetapi, mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada hari yang sama kemudiannya dikatakan telah membuat keputusan sebulat suara bahawa proklamasi itu sah dan berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Tengku Zafrul, pada 16 September, keputusan itu diumumkan dengan Tuanku Muhriz dikatakan telah diturunkan sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Selain itu katanya, pada 17 September, Ismail sendiri mengesahkan keputusan Exco tersebut dan proses pewartaan telah diminta untuk diteruskan.
Tengku Zafrul berkata, Ismail juga perlu menjelaskan sama ada benar beliau dipaksa menandatangani proklamasi itu dan jika benar, siapa yang memberi tekanan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan faktor yang menyebabkan perubahan pendirian kerajaan negeri serta sama ada wujud tekanan terhadap Ismail dalam tempoh tersebut.
“Jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian, siapa yang terlibat dan siapakah yang ditemui dalam tempoh tersebut?
“Apa yang sebenarnya berubah antara 9 dan 15 September? Perkara asas ini perlu dijelaskan dahulu,” katanya. – UTUSAN











