Teguran PM tidak berasaskan gambaran lengkap - Ismail

Teguran PM tidak berasaskan gambaran lengkap – Ismail

ISMAIL Lasim semasa sidang akhbar di Seremban hari ini. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat gambaran yang sebenar dan maklumat yang lengkap berkaitan isu yang melanda institusi diraja negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, ia telah mendorong Perdana Menteri membuat ulasan dengan menyifatkan tindakan beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Tegasnya, Menteri Besar dan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebaliknya hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.

“Saya menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja negeri ini. Namun saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco perkara ini.

“Persetujuan MMKN terhadap tindakan susulan pentadbiran tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang Yang Empat atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Seramai sembilan Ahli Exco kerajaan negeri hadir pada sidang akhbar itu kecuali Datuk Mohd. Faizal Ramli yang dilaporkan menunaikan umrah.

Semalam, Anwar menyifatkan tindakan Ismail dan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.

“Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.

Ismail mengulangi pendirian bahawa beliau dan barisan EXCO tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Beliau berkata, segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tata cara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut undang-undang tubuh tersebut serta proses undang-undang yang berkenaan.

“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×