Universiti perlu belajar daripada cabaran lepas untuk bina daya tahan - Sultan Nazrin

Universiti perlu belajar daripada cabaran lepas untuk bina daya tahan – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi perlu belajar daripada dilema politik serta cabaran dasar lepas untuk membina ketahanan dan terus berkhidmat kepada negara secara berkesan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah sejarah universiti itu menunjukkan bagaimana pemimpin, ahli akademik, petugas dan penuntutnya berkompromi dan mengemudi pilihan sukar semasa mendepani perubahan besar yang memberikan kesan kepada institusi serta negara.

“Daripada impak langsung Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap kesatuan penuntut UM dan bahasa pengantar hingga pengekangan kebebasan bersuara dalam politik, semuanya didokumenkan di sini,” titah baginda pada pelancaran buku A Living History: Personal Reflections on the University of Malaya di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah buku itu juga mendokumenkan wacana intelektual dan politik di kampus pada tahun-tahun awal UM yang kemudiannya terhakis berikutan pilihan sukar susulan krisis Mei 1969.

Baginda bertitah penyumbang, dengan sebahagian daripada mereka ialah aktivis politik semasa itu, tidak teragak-agak membincangkan dilema dihadapi universiti atau mengakui kesilapan mungkin telah berlaku.

“Namun mereka semua mengiktiraf kepimpinan, keberanian, kerjasama dan profesionalisme yang membolehkan institusi ini mengharungi pelbagai cabaran,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pengalaman universiti itu membuktikan cabaran sukar boleh ditangani menerusi kompromi dan mencari keseimbangan termasuk semasa peralihan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Baginda bertitah peralihan itu menjadi cabaran besar merentas pelbagai jabatan dan disiplin, dengan faktor seperti perkembangan antarabangsa turut mempengaruhi proses tersebut.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin bertitah penggunaan bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam pembangunan UM sebagai sebuah institusi kebangsaan selain universiti itu kekal mempertahankan kelebihan menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Selain itu, baginda bertitah ahli akademik UM juga berupaya memanfaatkan penguasaan bahasa Mandarin dan Tamil untuk membangunkan kerjasama antarabangsa di luar wilayah bertutur bahasa Inggeris yang mencerminkan warisan masyarakat majmuk negara.

Sultan Nazrin juga bertitah UM memainkan peranan penting sejak penubuhannya dalam melahirkan saintis, pakar perubatan, jurutera, pembuat dasar dan ahli politik yang diperlukan untuk pembangunan negara selain ahli akademik serta penuntutnya terus membantu memacu negara.

“Ahli akademik dan penuntut UM kekal sebagai sumber penting kepakaran penting, masih membantu memacu, membentuk dan memimpin pembangunan negara. Oleh itu, universiti ini terus berkhidmat kepada negara, sejajar dengan mandat penubuhannya,” titah baginda. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×