BUKIT MERTAJAM : Polis kini sedang mengesan identiti seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar dua orang murid perempuan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Permatang Pauh di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, tindakan itu diambil bagi membantu siasatan selain mendapatkan gambaran sebenar mengenai insiden terbabit.
Nik Aminuddin berkata, pihaknya sebelum itu berjaya mengesan satu rakaman video berdurasi kira-kira 30 saat berhubung kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku sekitar pukul 7.20 pagi ketika kedua-dua murid yang masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun sedang melintas jalan di lintasan pejalan kaki untuk ke sekolah.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal yang ditunggang dengan laju datang secara tiba-tiba dan melanggar kedua-dua mangsa. Akibat perlanggaran itu, kedua-duanya mengalami cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini,
Jelas Nik Aminuddin, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hafizi Mansor di talian 017-5660103 atau berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan.-UTUSAN











