Krisis N Sembilan: Ini langkah biadab, tak bertamadun - PM - Utusan Malaysia

Krisis N Sembilan: Ini langkah biadab, tak bertamadun – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU, China: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan EXCO menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.

“Menteri Besar dan EXCO yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini.

Anwar mengulas krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan yang menyaksikan kemelut berkenaan semakin sukar dirungkai.

Ismail sebelum ini mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh EXCO negeri itu.

Kerajaan Persekutuan tak campur tangan

Sementara itu, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam isu penurunan takhta Raja yang disifatkannya bukan perkara mudah.

Beliau turut menjelaskan keputusan untuk menghadap Tuanku Muhriz baru-baru ini dibuat kerana mahkamah memutuskan baginda adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Katanya, walaupun kuasa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada keputusan Undang Luak, keputusan berkenaan tidak bersifat mutlak dan perlu mengikut peraturan.

“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita. Jangan dia kata tak boleh campur, bukan campur.

“Tak boleh Undang buat keputusan, tapi Undang buat keputusan itu bukan mutlak, dia kena ikut juga peraturan. Sekarang kita dengar dua-dua, ada dua pihak, satu Undang kata dia Undang, ada Undang kata tak.

“Kita ada Luak dan pandangan kata sebaliknya. Jadi saya kata, putuskan dulu. Kalau semua Undang sudah ikut proses yang betul dan Undang dilantik dia buat keputusan, itu luar daripada bidang kuasa saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×