Apa erti kerakyatan jika tidak boleh cakap Melayu? –Teo Kok Seong

Apa erti kerakyatan jika tidak boleh cakap Melayu? –Teo Kok Seong

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kerakyatan Malaysia tidak membawa sebarang makna sekiranya seseorang warganegara itu gagal menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penguasaan bahasa Melayu sepatutnya menjadi perkara asas bagi setiap warganegara kerana bahasa itu bukan sahaja bahasa kebangsaan, malah bahasa rasmi yang wajib digunakan dalam sistem kenegaraan.

Beliau kemudian menyifatkan kegagalan sebahagian rakyat menguasai bahasa Melayu sebagai masalah besar.

“Kalau hari ini adanya peraturan menguji setiap rakyat yang memegang kad pengenalan biru tentang kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu, saya kira ramai yang gagal.

“Masih ramai terdapat ramai rakyat Malaysia yang bergelar warganegara tidak mengetahui bahasa negara ini dengan baik,” katanya ketika sesi Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi satu kes kontroversi apabila seorang bukan Melayu yang berurusan di Jabatan Imigresen untuk memperbaharui pasport didakwa tidak dapat berbahasa Melayu sebelum ditegur seorang pegawai imigresen.

Menurutnya, kejadian itu kemudian menyaksikan seorang pemimpin meminta tindakan dikenakan terhadap pegawai berkenaan, namun pada masa sama tidak timbul perbincangan lebih luas mengenai keperluan memperbaiki penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini isu nasional yang penting tetapi sayang sekali tidak pernah dibicarakan terutama orang politik kita,” katanya.

Ujar Kok Seong, perkara itu lebih penting kerana bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, selain menjadi bahasa rasmi yang digunakan dalam pentadbiran, perundangan dan urusan kenegaraan.

“Menjadi kemestian bagi rakyat sesebuah negara bukan sahaja mengetahui tetapi menguasai bahasa negara.

“Cukup malang sekali selain Singapura kita di Malaysia ini, merupakan negara yang rakyatnya sendiri tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×