Kontroversi bukan ukuran kreativiti

Kontroversi bukan ukuran kreativiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH drama atau filem melalui proses panjang untuk dihasilkan tetapi satu babak boleh mencetuskan reaksi lebih besar daripada keseluruhan cerita.

Apabila paparan yang dianggap keterlaluan atau sensitif tersebar di media sosial, ia boleh menjadi tular dalam sekelip mata dan mengundang kritikan penonton.

Dalam keadaan ini, perkara yang perlu dilihat bukan sekadar reaksi masyarakat tetapi tujuan sesuatu babak ditampilkan, cara isu digarap dan kesannya kepada khalayak.

Perkara ini semakin penting apabila karya tempatan kini mudah diakses melalui pelbagai platform digital.

Sesuatu paparan bukan sahaja pantas tersebar, malah boleh sampai kepada khalayak yang jauh lebih luas daripada sasaran asal. Ruang terbuka itu sememangnya memberi peluang kepada pengkarya bereksperimen tetapi kebebasan perlu disertai kepekaan untuk menentukan bukan hanya apa yang boleh dipaparkan tetapi yang wajar ditampilkan.

Konflik rumah tangga, perselingkuhan, hubungan toksik, persaingan antara wanita serta tema sensitif semakin kerap menjadi bahan drama. Mengangkat realiti kehidupan tidak bermakna karya perlu mengelakkan isu sukar, namun cara sesuatu perkara dipersembahkan tetap penting.

Babak sensitif tidak seharusnya dijadikan jalan mudah untuk menarik perhatian. Karya yang kuat tidak memerlukan kontroversi sebagai modal utama.

Budaya tular pula menjadikan satu babak mudah dipisahkan daripada keseluruhan cerita. Klip pendek boleh dikongsi berulang kali sehingga membentuk persepsi terhadap karya berkenaan. Ironinya, kecaman juga boleh menyebabkan lebih ramai mencari kandungan tersebut.

Drama Madu atau Racun, misalnya, menunjukkan bagaimana kebimbangan penonton akhirnya mendapat perhatian pihak berkuasa, badan industri dan penyedia platform sehingga episod terbabit ditangguhkan untuk dinilai semula.

Drama Cela turut menerima kritikan berkaitan unsur romantik gelap yang menimbulkan persoalan tentang kesesuaian dengan nilai dan norma masyarakat.

Situasi seperti ini menunjukkan suara penonton mempunyai pengaruh. Namun, semakan kandungan tidak sepatutnya hanya berlaku selepas sesuatu karya menjadi tular.

Tema sensitif tidak semestinya menjadikan sesebuah karya lebih berani. Begitu juga babak keterlaluan tidak secara automatik meningkatkan nilai seni.

Kreativiti sebenarnya terletak pada kebijaksanaan mengolah cerita. Konflik pasangan, hubungan romantik atau persoalan seksualiti boleh menjadi sebahagian daripada naratif jika mempunyai tujuan yang jelas tetapi jika sesuatu babak tidak banyak menyumbang kepada jalan cerita, kewujudannya wajar dipersoalkan.

Dalam penceritaan, tidak semua perkara perlu ditunjukkan untuk difahami. Dialog, reaksi watak, simbol dan bahasa visual kadangkala mampu menyampaikan emosi dengan lebih kuat tanpa gambaran yang keterlaluan.

Klasifikasi umur membantu penonton menentukan kesesuaian kandungan tetapi bukan lesen untuk memaparkan apa sahaja. Sistem klasifikasi lima kategori, iaitu U, P12, 13, 16 dan 18, memberi panduan berdasarkan tahap kematangan penonton.

Namun, aspek agama, sosiobudaya, ketertiban dan ketatasusilaan tetap perlu diberi perhatian. Tanggungjawab terhadap kandungan tidak berakhir selepas klasifikasi ditetapkan.

Drama juga bukan sekadar cermin masyarakat. Ia membentuk cara penonton memahami sesuatu isu. Sebab itu, pengkarya mempunyai ruang luas untuk mengangkat konflik keluarga, sejarah, budaya dan perubahan sosial tanpa perlu bergantung pada sensasi.

Kebebasan berkarya bukan alasan untuk menguji sejauh mana sensitiviti masyarakat boleh dicabar. Industri kreatif perlu berani meneroka realiti tetapi pada masa sama tahu batas yang perlu dihormati.

Kontroversi mungkin menarik perhatian untuk seketika tetapi karya yang kuat dan bermakna lebih berpeluang kekal dalam ingatan. Biarlah karya dikenang kerana nilainya, bukan kerana sensasinya. –UTUSAN

ZAIHA AHMAD
Pensyarah Kanan,
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×