Kegiatan pengangkutan warga asing disyaki PATI tumpas, tujuh van disita

Kegiatan pengangkutan warga asing disyaki PATI tumpas, tujuh van disita

Kegiatan pengangkutan warga asing disyaki PATI tumpas, tujuh van disita JIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kegiatan perkhidmatan pengangkutan warga asing yang disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tumpas dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya, Isnin lalu.

Dalam operasi berkenaan, pasukuan penguat kuasa berjaya memintas dan menahan tujuh buah van yang membawa sejumlah penumpang warga asing.

JIM dalam kenyataan memaklumkan,  hasil pemeriksaan mendapati enam daripada van berkenaan dipandu oleh warga asing yang terdiri daripada lima lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Indonesia.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. Pemeriksaan turut mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan.

“Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing tersebut mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia bagi menjalankan perkhidmatan berkenaan,” katanya hari ini.

Menurut JIM, seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan pemandu dan pemilik salah sebuah van turut ditahan.

Katanya, kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan seramai 53 warga asing yang terdiri daripada 44 warganegara Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki warganegara Bangladesh serta seorang lelaki warganegara Myanmar kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Siasatan awal turut mendapati warga asing berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan van tersebut untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan,” katany.a

Susulan itu, sebanyak tujuh buah van telah disita kerana disyaki digunakan dalam melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa sama, JIM sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kes disiasat kerana disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

JIM memandang serius sebarang kegiatan yang memudahkan pergerakan, penggajian atau keberadaan PATI di negara ini.

Tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, malah akan diperluaskan kepada manamana individu, majikan, pemilik kenderaan atau pihak yang melindungi dan memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×