PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) perlu memperkukuhkan keupayaan risikan dan jangkaan strategi bagi mendepani ancaman sindiket rentas sempadan melibatkan pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jabatan itu perlu mempunyai kemampuan membaca pola migrasi global dan memahami perubahan geopolitik serta mengesan ancaman rentas sempadan sebelum sesuatu krisis berlaku.
Beliau berkata, sindiket hari ini tidak lagi beroperasi secara konvensional sebaliknya dilihat memanipulasi pasport, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa bagi mengaburi penguatkuasaan imigresen.
“Laluan migrasi tidak teratur hari ini telah berkembang menjadi satu situasi yang sentiasa berubah mengikut tekanan penguatkuasaan dan peluang yang tersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi Tahun 2025 di sini hari ini.
Katanya, JIM perlu terus berada beberapa langkah di hadapan ancaman termasuk membina budaya kerja yang peka terhadap perubahan global dan menyesuaikan operasi mengikut realiti semasa.
Saifuddin berkata, JIM tidak boleh lagi bekerja menggunakan pendekatan yang statik sedangkan ancaman hari ini bergerak pantas, bersifat transnasional dan
menggunakan teknologi yang semakin canggih.
“Inilah sebabnya kerajaan memberi penekanan besar kepada reformasi dan transformasi sistem imigresen negara.
“Saya melihat masa depan imigresen negara perlu dibina berasaskan prinsip “Smart, Secure and Seamless Immigration’,” katanya,” katanya. – UTUSAN










