KDN bentang pelaksanaan projek penempatan pelarian kepada Kabinet, bulan depan

KDN bentang pelaksanaan projek penempatan pelarian kepada Kabinet, bulan depan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan pelaksanaan Pusat Pengasingan Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak kepada Jemaah Menteri pertengahan bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat komprehensif pengurusan pelarian itu kini dalam proses pembinaan dan bakal berfungsi sebagai pusat sehenti nasional bagi proses saringan awal, dokumentasi dan penempatan sementara.

Beliau berkata, pusat itu kelak berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam memperkukuh pengurusan pelarian secara lebih sistematik dan menyeluruh di negara ini.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah bersetuju supaya projek ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Kita ada tugasan tambahan untuk siapkan laporan kepada Jemaah Menteri. Dalam bulan Jun, minggu kedua kita laporkan sebagai nota kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini hari ini.

Jelasnya lagi, pelaksanaan pelan itu adalah selaras dengan tanggungjawab yang digariskan MTEN serta permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperincikan projek khas berkenaan.

Apabila siap kelak, fasiliti moden yang diwujudkan di PPKPPS ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat saringan dan dokumentasi, tetapi juga sebagai Pusat Rujukan Nasional bagi proses saringan keselamatan, verifikasi biometrik dan dokumentasi dan penilaian status.

Model ini mengelakkan penempatan tidak teratur di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus mengurangkan risiko sosial dan gangguan ketenteraman awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN