MELAKA: Seramai 187,858 warga asing dari 106 negara menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal secara sah, bermula 19 Mei 2025 hingga 3 Mac 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program pengampunan itu menjana kutipan kompaun sebanyak RM94 juta sejak dilaksanakan, dengan jumlah penyertaan dijangka meningkat sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri ini.
Menurutnya, lebih ramai warga asing mengambil peluang untuk menyertai program berkenaan bagi membolehkan mereka pulang menyambut hari raya bersama keluarga.
“Kalau ikut prosedur biasa, kesalahan ini boleh membawa kepada penahanan dan hukuman penjara. Tetapi melalui program ini, mereka hanya perlu membayar kompaun RM500 dan dibenarkan pulang tanpa tindakan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai dan Majlis Iftar Bersama Menteri Dalam Negeri Jabatan Imigresen (JIM) di Ayer Keroh di sini hari ini.
Saifuddin berkata, program tersebut memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen sah untuk tampil secara sukarela tanpa perlu melalui proses pendakwaan atau penahanan.
Menurutnya, antara kesalahan utama yang diselesaikan melalui program berkenaan ialah tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 serta tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6 (1) (c) akta sama.
“Tahun lalu sahaja kutipan kompaun melalui program sama mencecah RM65 juta hasil penyertaan warga asing yang memilih untuk pulang secara teratur.
“Ia membabitkan pelbagai warganegara dengan antara yang tertinggi terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Thailand,” katanya.
Program Repatriasi Migran 2.0 dijadual berakhir pada 30 April ini. – UTUSAN










