Imigresen gempur gudang haram gaji PATI

Imigresen gempur gudang haram gaji PATI

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menggempur sebuah gudang di ladang sawit dekat Telok Panglima Garang, Selangor yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjalankan kerja-kerja pembungkusan barangan dari China.

Operasi gudang itu dipercayai didalangi warga China yang menyalahgunakan pas lawatan sosial, selain bertindak menggaji pendatang asing tanpa izin.

Gudang itu dipercayai telah beroperasi enam bulan lalu, dengan  membungkus barangan dari China yang dibeli oleh pembeli menggunakan platform dalam talian.

Dalam operasi pukul 10.55 pagi semalam, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM berjaya menahan seramai 24 PATI dari pelbagai negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, PATI terbabit dua lelaki warga China, sembilan lelaki Bangladesh, dua lelaki India, dua lelaki dan lapan wanita Myanmar serta seorang wanita Kemboja. 

Katanya, semakan awal mendapati dua warga China yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan, manakala dua warga Bangladesh tinggal lebih masa.

Manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah. 

“Turut disita tiga pasport Bangladesh dan Myanmar, pasport China (dua) dan Kemboja (satu) dan sebuah Mercedes Benz dipercayai digunakan dalam aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk dihantar kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui platform  dalam talian. 

Jelasnya, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, aktiviti berkenaan dijalankan di premis terpencil di ladang kelapa sawit dan tidak mempunyai papan tanda perniagaan. 

“Seorang daripada warga China yang ditahan dipercayai menggajikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan kerja yang sah untuk bekerja di negara ini. 

“Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

 Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Sek.55B Akta Imigresen 1959/63,  Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. 

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.  Selain itu, tiga warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN