Harimau Malaya kini lebih garang

Harimau Malaya kini lebih garang

Bergson Da Silva (kiri) antara pemain baharu Harimau Malaya berstatus naturalisasi. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Bergson Da Silva, Brad Tapp dan Minuel Hidalgo memberikan nafas baharu kepada Harimau Malaya bagi menghadapi tugasan antarabangsa.

Perkara itu diakui pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi Piala ASEAN FIFA 2026 yang bakal bermula pada Jumaat ini di Jakarta, Indonesia.

Trio itu mampu menambah kekuatan di bahagian serangan serta pertahanan, dengan Cheng Hoe mengakui kehadiran mereka memberikan dimensi berbeza kepada skuad kebangsaan.

Menurut Cheng Hoe, Bergson sudah membuktikan kualitinya sebagai antara penyudah terbaik dalam Liga Malaysia selain tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan.

“Ya, memang ketiga-tiga pemain ini memberi satu, orang kata, nafas baharu dalam pasukan. Sudah tentu kita telah rasa dan Bergson terbukti sebagai penyudah terbaik dalam Liga Malaysia dan dia juga telah serasi dengan pemain tempatan.

“Saya rasa dia (Bergson) tiada masalah. Sudah tentu Hidalgo pun telah lama bersama dengan skuad (Liga Malaysia) dengan Pahang, Kedah dan JDT. Saya rasa tiada isu (keserasian),” katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengingatkan Hidalgo perlu bersedia menghadapi cabaran berbeza apabila beraksi di pentas antarabangsa, terutama dari segi suasana dan tekanan yang tidak sama seperti pertandingan domestik.

Dalam masa sama, beliau melihat kehadiran Tapp mampu memberikan kestabilan kepada benteng Harimau Malaya berdasarkan apa yang dipamerkan pemain berkenaan bersama JDT.

“Kita telah nampak dia (Tapp) dalam pasukan JDT dari segi fizikal, kekuatan dan juga ketenangan memberi kestabilan dalam skuad barisan pertahanan Harimau Malaya nanti,” katanya.

Menurut Cheng Hoe, barisan serangan yang lebih lengkap diharapkan mampu membantu Harimau Malaya menyelesaikan masalah penyudah yang sebelum ini sering menjadi perhatian apabila berdepan lawan di peringkat antarabangsa.

“Kita mengharapkan barisan serangan yang ada ini mampu menyelesaikan masalah di bahagian serangan. Tetapi sudah tentu saya sebagai jurulatih masih perlu memberikan keyakinan dan panduan kepada mereka kerana bermain di peringkat antarabangsa suasananya berlainan,” katanya.

Terdahulu Cheng Hoe mengumumkan Harimau Malaya kehilangan tiga tonggak menjelang Piala FIFA ASEAN 2026 selepas Faris Danish, Sergio Aguero dan Romel Morales terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Faris Danish yang mengalami kecederaan betis digantikan Harith Haiqal Adam Afkar, manakala Sergio Aguero diganti oleh Muhamad Syahir Bashah dan tempat Romel Morales pula diambil alih penyerang KL City FC, Paulo Josue.

Cheng Hoe berkata, keputusan menggugurkan ketiga-tiga pemain itu dibuat selepas mereka didapati belum berada pada tahap kecergasan 100 peratus, sekali gus tidak mahu mengambil risiko lebih besar sepanjang kejohanan.

Malaysia akan membuka saingan berdepan Bangladesh di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat ini disusuli aksi berdepan Indonesia juga di venue sama pada 28 September dan mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×