Tahap amaran Gunung Berapi Anak Krakatau diturunkan - Utusan Malaysia

Tahap amaran Gunung Berapi Anak Krakatau diturunkan

TAHAP Gunung Berapi Anak Krakatua diturunkan kepada Amaran II. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tahap aktiviti gunung berapi Anak Krakatau diturunkan kepada Tahap Amaran II pada Isnin, jam 6.30 petang waktu Jakarta.

Gunung berapi di Selat Sunda itu sebelum ini dinaikkan kepada Tahap Amaran III pada 2 Julai dan terus meletus, memuntahkan abu yang tersebar hingga ke Jawa Barat dan Sumatera Barat.

Ketua Badan Geologi, Lana Saria berkata, Gunung Anak Krakatau mencatatkan 224 letusan sehingga 3 September. 

Gunung berapi itu turut merekodkan letusan berterusan selama 25 jam dari 4 September jam 11.07 malam hingga 6 September jam 12.04 tengah malam waktu tempatan.

Berdasarkan imej satelit, letusan berterusan itu menghasilkan aliran lava yang mengalir ke arah barat laut-barat-barat daya dari pusat letusan. 

Abu gunung berapi itu mencapai kawasan Jakarta Raya dan memaksa pihak berkuasa menutup beberapa lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, atas faktor keselamatan penerbangan ketika itu.

Walaupun Gunung Anak Krakatau masih mencatatkan tujuh letusan Stromboli, aktivitinya semakin berkurangan selepas letusan berterusan itu berhenti pada 12 tengah malam waktu tempatan , 20 September.

Rekod seismik Gunung Anak Krakatau pada 20 September menunjukkan satu gempa bumi berfrekuensi rendah. 

Amplitud gegaran berterusan pula secara purata hanya dua milimeter.

Bagaimanapun, Lana memberi amaran kepada penduduk sekitar Gunung Anak Krakatau, pengunjung, pelancong atau pendaki supaya tidak memasuki atau menjalankan sebarang aktiviti berhampiran kawasan gunung berapi itu atau dalam radius dua  kilometer dari kawah.

“Status aktiviti Gunung Anak Krakatau akan dinilai semula secara berkala atau sekiranya berlaku perubahan ketara dalam aktiviti,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×