RM1.66 juta perkasa latihan mikrosurgeri USM

RM1.66 juta perkasa latihan mikrosurgeri USM

DR. Abdul Rahman Mohamed menandatangani plak perasmian Pusat Latihan Kemahiran Mikrosurgeri (MiST) di Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i- CSC), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh latihan kepakaran perubatan menerusi penubuhan Pusat Latihan Kemahiran Mikrosurgeri (MiST) bernilai RM1.66 juta yang turut membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang perubatan.

Naib Canselor USM, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Moha­med berkata, MiST adalah pusat latihan mikrosurgeri pertama seumpamanya dalam kala­ngan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Malaysia.

Katanya, pusat berkenaan menyediakan kemudahan latihan dalam bidang Oftalmologi, Ortopedik, Pembedahan Rekonstruktif, Pembedahan Am, Otorinolaringologi, Kepala dan Leher serta Obstetrik dan Ginekologi.

“Peruntukan sebanyak RM1.66 juta itu bagi pengubahsuaian, penaiktarafan dan penyediaan kemudahan MiST sebagai pusat latihan mikrosurgeri yang komprehensif dan lengkap.

“Ia juga mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai pusat rujukan latihan mikrosurgeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, penyelidikan dan inovasi,” katanya selepas merasmikan MiST di Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Kubang Kerian, di sini.

Dr. Abdul Rahman berkata, MiST dilengkapi 12 unit mikroskop termasuk dua unit untuk tenaga pengajar bagi menyokong latihan secara individu dan berkumpulan.

Katanya, latihan MiST turut berperanan sebagai platform bagi penganjuran kursus dan bengkel, penilaian kompetensi, aktiviti penyelidikan serta kolaborasi dengan institusi dalam dan luar negara.

“Kami (USM) berharap penubuhan pusat ini dapat me­nyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti dalam bidang kepakaran perubatan, memperluas budaya pembelajaran sepanjang hayat serta me­rancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi,” ujarnya.

Dr. Abdul Rahman berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen USM untuk memastikan penyediaan pendidikan dan latihan perubatan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi, keperluan semasa serta tuntutan keselamatan dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Katanya, projek tersebut melibatkan penyediaan ruang latihan yang kondusif dan memenuhi keperluan latihan mikrosurgeri termasuk penambahan mikroskop pembedahan, stesen latihan, kemudahan komunikasi dan internet, pera­latan pembedahan serta kemudahan pembelajaran yang menyokong latihan secara individu dan berkumpulan.

“Melalui kemudahan yang disediakan, doktor dalam latihan kepakaran berpeluang mempelajari dan menguasai teknik pembedahan dalam persekitaran simulasi yang terkawal sebelum mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam situasi klinikal sebenar.

“Pendekatan ini dapat menyokong usaha melahirkan graduan dan pakar yang kompeten serta berintegriti, di sam­ping mengutamakan aspek kese­lamatan pesakit dalam amalan klinikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×